12/22/09

Remaja berhenti kerja akibat kanser

Sinar Harian 22 Dis 09

KAMPUNG LINGGI , Port Dickson – Kehidupan ceria seorang remaja, Khairunnisa Shaari tiba-tiba berubah apabila dia disahkan menghidap kanser kelenjar tahap dua.

Khairunnisa, 21, berkata, malah dia terpaksa mengorbankan kerjayanya sebagai pembantu kedai akibat penyakitnya itu hingga menyebabkannya: terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ibunya, Fauziah Aziz, 42, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai operator pengeluaran sebuah kilang di Seremban.


Menurut Khairunnisa, setiap dua minggu dia perlu menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Seremban selama dua tahun sebelum pemeriksaan sama ada bebas daripada kanser itu.

“Setiap kali menjalani rawatan kemoterapi, sekurang-kurang kos perbelanjaan mencecah RM200 termasuk bayaran sewa kereta.

“Kami tiada kenderaan dan terpaksa menyewa kereta ataupun teksi dari hospital ke rumah. Lazimnya selepas rawatan kemoterapi, badan saya akan berasa amat lemah,” katanya kepada Sinar Harian

Difahamkan, kanser kelenjar yang dihidapi Khairunnisa berada di tahap kedua dan hanya disedarinya apabila ditegur doktor sewaktu menghantar neneknya ke Klinik Kesihatan untuk mendapatkan ubat.

“Saya memang menyedari keadaan daripada bawah telinga ke leher besar, tetapi menganggapnya hanya sakit biasa seperti beguk. Saya tidak risau, lebih-lebih lagi ia tidak sakit.

“Namun selepas menerima rawatan pertama di Hospital Seremban dan pembedahan kecil terpaksa dijalankan, barulah saya disahkan menghidap penyakit ini. Setelah berhenti kerja, ibulah yang menanggung segala perbelanjaan termasuk kemoterapi dan ubat-ubatan lain,” katanya.

Khairunnisa memaklumkan badannya kini menjadi lemah dan tidak dapat bergerak seaktif dahulu.

Malah sejak menjalani kemoterapi, seluruh rambutnya mulai gugur. Khairunnisa berkata, kini dia sudah menjalani tujuh kali kemoterapi dan doktor memaklumkan, walaupun rawatan sekarang ini memberinya peluang 75 peratus untuk sembuh, namun mempunyai kesan sampingan lain yang boleh mengganggu buah pinggang, jantung dan rahim.

“Apabila tamat tempoh dua tahun kemoterapi, saya akan menjalani rawatan sekali lagi bagi memastikan saya benar-benar sihat atau terpaksa menjalani rawatan lain.

“Saya memohon kepada mana-mana pihak untuk datang membantu meringankan sedikit beban ibu menanggung kos perubatan yang tinggi. Terdahulu Baitulmal ada memberikan RM1,000 dan saya ucapkan terima kasih,” katanya.

Sementara itu, Fauziah turut mengakui pendapatan sekitar RM500 sebulan tidak mencukupi bagi menanggung semua yang berlaku dalam kehidupan keluarganya.

“Itu pun saya sudah mengambil kerja tambahan dua jam setiap hari. Kebiasaannya saya akan keluar bekerja seawal 6 pagi dan hanya pulang pada jam 9 malam.

“Selain menguruskan empat anak, saya juga menjaga ibu yang sudah berusia 73 tahun. Bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah skim ibu tunggal sudah saya peroleh, tetapi permohonan ibu saya ditolak. Tidak tahu mengapa ia ditolak, memandangkan ibu saya juga adalah warga emas ibu tunggal dan hanya bergantung kepada wang yang diberikan oleh anak-anaknya sahaja,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6236810.asp

0 comments: