Bagaimana agaknya keadaan Klinik Kesihatan di Rantau yang terbiar ini dan bila agaknya akan dibina Hospital di Rembau seperti yang dijanjikan sebelum ini jika berlaku Piliharaya Kecil di DUN Rantau dan DUN Chembong ? Siapa ya ADUN Rantau dan ADUN Chembong sekarang ni ?
*************
Kawasan luar Klinik Kesihatan Rantau didakwa terbiar
Sinar Harian 9 Julai 2009
RANTAU – Kawasan luar Klinik Kesihatan Rantau kelihatan seolah-olah terbiar apabila kawasan taman permainan dan istirehat pengunjung klinik terbabit tidak diselenggarakan dengan betul.
Tinjauan Sinar Harian ke lokasi itu mendapati, kawasan terbabit bukan sahaja dilihat usang dan terbiar malah beberapa landskap yang ada di kawasan berhampiran juga tidak dijaga.
Keadaan terbabit semestinya menjejaskan imej klinik yang sentiasa dikunjungi orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.
Malah, dengan keadaan pokok-pokok yang tidak dicantas dan dipotong juga boleh mengundang kepada masalah pembiakan nyamuk di situ.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail menghubungi Sinar Harian memaklumkan hal berkenaan dan dia sebagai salah seorang pengunjung klinik itu meluahkan rasa kecewa dengan keadaan persekitaran klinik yang sepatutnya diberi perhatian pihak berkenaan.
Ismail mendakwa, sebelum ini mana-mana pengunjung yang datang ke klinik itu boleh berehat sambil membawa anak-anak bermain di kawasan berkenaan sementara menunggu ahli keluarga mendapatkan rawatan.
“Keadaan ini bukan sahaja boleh dilihat pengunjung klinik, malah pengguna jalan raya juga dapat melihat dengan jelas persekitaran luar klinik ini yang amat menyedihkan,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2938339.asp*************
Penduduk serah memorandum tanah
Sinar Harian 9 Julai 2009
SEREMBAN – Penduduk Kampung Waris Tebat, Kampung Chua Hilir dan Kampung Chembong Halt mengemukakan memorandum kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi membantu menyelesaikan masalah pengambilan tanah adat.
Memorandun berkenaan disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Selamatkan Tanah Adat Rembau, Chik Tak Datuk Ahmad kepada Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Sembilan yang juga Pengerusi PKR negeri, Datuk Kamarul Bahrin Abbas.
Chik Tak berkata, pihak jawatankuasa sudah tiada pilihan lain selain memohon campur tangan dan bantuan Pakatan Rakyat (PR) dalam mengatasi kemelut itu.
“Surat telah diserahkan dan pertemuan diadakan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen serta kerajaan negeri dengan mengemukakan maklumat kepada kepimpinan UMNO di peringkat bahagian, namun apa yang dikesali adalah tiada sebarang reaksi yang diberikan.
“Majoriti penduduk di sini merupakan ahli UMNO, namun kami seolah-olah dianaktirikan apabila alasan yang diberi adalah projek pembinaan landasan kereta api berkembar ini milik Kerajaan Persekutuan dan undang-undang membolehkan pengambilalihan paksa,” dakwanya selepas Majlis Penyerahan Memorandum di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat PKR Cabang Rembau, dekat sini.
Menurutnya, beliau mempersoalkan adakah kerajaan negeri menyatakan Kerajaan Pusat menggunakan undang-undang untuk melakukan tindakan kurang wajar.
Sementara itu, Pengerusi PKR negeri, Kamarul Baharin Abas berkata, PKR memberikan jaminan membantu penduduk kampung berkenaan mendapat pembelaan dan hak sewajarnya.
“PKR akan bersama-sama penduduk kampung terbabit memperjuangkan hak mereka menerusi saluran perundangan agar penduduk kampung dapat menuntut hak mereka.
“Kita tidak mengira apa jua parti yang mereka dokong, namun kepentingan rakyat adalah menjadi keutamaan,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2938166.asp*************
Penduduk mahu janji ditunai
Sinar Harian 9 Julai 2009
KUALA PILAH – Jambatan yang dibina secara gotong-royong di Kampung Tebat Kering masih lagi tidak bertukar wajah walaupun sudah lama penduduk memohon pihak bertanggungjawab membantu menyelesaikan masalah berkenaan sejak 2008.
Penduduk di kawasan itu juga merayu kepada pihak bertanggungjawab membina saluran parit agar air tidak bertakung yang boleh mengundang pembiakan nyamuk Aedes dan haiwan berbisa.
Seorang penduduk, Anita Osman, 44, berkata, jambatan yang dibina pada tahun 90-an ini masih lagi digunakan untuk kegunaan penjalan kaki walaupun keadaan struktur jambatan yang tidak kukuh.
Menurutnya, jalan ini satu-satunya tempat yang paling dekat untuk keluar ke Pekan Kuala Pilah kerana jika menggunakan jalan lain kos pengangkutan akan bertambah.
“Sebelum ini, keadaan parit di sini seperti padang kerana tiada air dan tidak ada masalah dari segi keselamatan tetapi kini air dari taman berdekatan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Za’Ba mengalir melalui parit ini.
“Bagaimanapun air tidak dapat mengalir dengan betul kerana parit ini dipenuhi dengan tumbuhan daun keladi dan sistem saluran yang tidak sistematik menyebabkan kawasan ini menjadi tempat takungan air,” katanya.
Anita berkata, dia juga bimbang kesan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba yang sedang berjalan akan menyebabkan keadaan itu bertambah buruk terutama apabila hujan lebat kerana bimbang rumah ditenggelami air.
“Apabila hujan lebat, air bertakung dalam parit seperti lautan yang mengundang haiwan berbisa dan merbahaya.
“Pernah penduduk kampung terserempak dengan haiwan berbisa kerana parit ini menjadi paya dan banyak pokok keladi tumbuh yang menjadi tempat ular membiak,” katanya.
Dia merayu kepada pihak bertanggungjawab supaya mengambil tindakan secepat mungkin agar masalah ini dapat diselesaikan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, A Naniswaran berkata, keadaan air yang bertakung tentunya mengundang pembiakan nyamuk Aedes.
“Dalam sibuk berkempen membanteras penularan penyakit denggi, tetapi kawasan ini seolah-olah menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Apabila waktu malam, nyamuk berkeliaran dan membahayakan penduduk di sini.
“Mengikut kumulatif demam denggi bagi kawasan Kuala Pilah ialah sebanyak 14 kes. Walaupun kuantiti rendah tetapi perlu diberi perhatian untuk mengurangkan kadar jumlah kes,” katanya kepada Sinar Harian.
Naniswaran berkata, pernah pihak bertanggungjawab turun padang melihat keadaan tetapi sehingga kini tiada sebarang reaksi dan tindakan susulan berhubung perkara tersebut.
“Mereka sekadar mengambil gambar dan tidak ada apa-apa tindakan. Hal ini amat mendukacitakan dan kami kecewa kerana sudah lama menunggu tindakan membina parit dan jambatan baru,” katanya.
Sinar Harian difahamkan, apabila hujan lebat, pemilik kolam ikan akan kerugian disebabkan ikan terlepas daripada sangkar kerana banjir teruk.
Sinar Harian sebelum ini pernah menyiarkan laporan masalah ini pada 25 Ogos 2008 dan Pejabat Daerah Kuala juga sudah memberi maklum balas.
Pejabat Daerah Kuala Pilah memaklumkan Jabatan Pengairan Daerah sudah diberitahu mengenai permasalahan perparitan dan melihat kesesuaian tindakan yang perlu diambil.
Pihaknya juga akan membantu penduduk menyelesaikan isu berkaitan laluan di samping mendapatkan peruntukan untuk pelaksanaan projek yang berkaitan.
Bagaimanapun tinjauan Sinar Harian ke kawasan berkenaan, mendapati masih tiada tindakan yang dilakukan untuk membantu masyarakat Kampung Tebat Kering malah keadaan bertambah teruk apabila ia dipenuhi pokok keladi dan menjadi semakin luas.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story2939087.asp