1/14/10

Gesa SWM bersihkan sampah

Sinar Harian 14 Jan 2010

KUALA PILAH - Penduduk Kampung Maasop, di sini menggesa pihak Southern Waste Management Sdn Bhd (SWM) membersihkan longgokan sampah di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Maasop, Zakaria Peral, 50, berkata, keadaan itu berlarutan hampir seminggu lalu.

“Masalah ini sudah beberapa kali berlaku, tetapi kali ini paling teruk sehingga menghalang kelancaran lalu lintas. Saya difahamkan, setiap kali hujan pekerja SWM tidak akan membuang sampah di tapak pembuangan sampah kira-kira 200 meter di Ulu Maasop, sebaliknya memilih untuk membuang di sini.:

“Saya tidak marah sekiranya longgokan sampah ini dibersihkan semula, tetapi apabila saya perhatikan lama-kelamaan semakin menjadi-jadi sehingga mengundang bahaya kepada pengguna menjadikan jalan ini sebagai laluan utama,” katanya.

Menurutnya, sampah itu bertaburan di jalan raya sehingga satu laluan tidak boleh dilalui dan tindakan haiwan liar seperti monyet dan anjing memburukkan keadaan terbabit.

“Kawasan berkenaan sepatutnya dibersihkan dan jika tidak, masalah lain yang akan timbul. Ditambah, wabak penyakit boleh berpunca daripada longgokan sampah itu seperti denggi.

“Longgokan sampah itu turut menjadi tempat pembiakan tikus dan nyamuk. Berikutan itu, saya bimbang wabak penyakit merbahaya seperti denggi itu akan berleluasa sehingga ke kawasan kampung,” katanya.

Sementara itu, Kamarudin Aripin, 39, berkata, tapak longgokan sampah itu tidak strategik kerana kenderaan datang dari kampung Inas tidak akan perasan kerana membawa dengan laju.

“Apabila sampah penuh di atas jalan menyebabkan pengguna dari arah Pilah mengelak dan menggunakan laluan sebelahnya dan kenderaan dari arah Inas mengguna had laju kerana sedang mendaki bukit dan tidak mustahil boleh berlaku kemalangan. Pengguna tidak perasan kenderaan datang dari arah Pilah.

“Ditambah, masalah ketiadaan lampu jalan. Untuk itu, sebelum berlaku perkara tidak diingini, saya berharap pihak berkuasa dapat selenggarakan sampah ini secepat mungkin,” katanya.

Berikutan itu, menurutnya, sejak tapak pembuangan sampah diwujudkan di sini, lalat banyak di kawasan kampung terutama apabila tiba majlis kenduri atau sebagainya.

“Penduduk menggunakan perangkap lalat, tidak sampai sejam, perangkap itu dipenuhi lalat. Tapak pembuangan sampah juga tidak jauh dari kampung. Ini memberi gambaran kawasan di sini kotor.

“Ramai penduduk kawasan perumahan itu merungut mengenai masalah itu, tetapi tidak boleh mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Menurutnya, dia tidak menafikan SWM memainkan peranan penting terutama dalam aspek pengurusan sisa pepejal, kitar semula serta kaitannya dengan alam sekitar.

“Tetapi, diharapkan masalah ini dapat diselesaikan segera untuk menjaga alam sekitar dan inginkan udara bersih sepanjang hari,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6363173.asp

0 comments: