Sinar Harian 31 Dis 09
PERADONG - Penduduk di sekitar Daerah Jelebu terutama yang tinggal antara Pekan Kuala Klawang hingga ke Simpang Pertang memohon pihak atau organisasi berkaitan mewujudkan semula perkhidmatan bas yang didakwa terhenti sejak hampir lima tahun dahulu.
Penduduk, Zamri Ibrahim, 38, berkata, sebelum perkhidmatan 'terhenti', bas melalui kawasan perkampungan terbabit sekurang-kurangnya sejam sekali.
Menurutnya, walaupun perkhidmatan tidak kerap, namun kewujudannya amat dihargai kerana memudahkan pergerakan orang kampung yang tidak mempunyai pengangkutan sendiri untuk ke Pekan Klawang.
“Deretan pondok bas sepanjang Pekan Kuala Klawang menuju ke Simpang Pertang sudah tidak berfungsi. Pondok bas sahaja cantik tapi tidak mempunyai makna,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, bagi Abdul Rahman Sabtu, 60, ketiadaan perkhidmatan bas menyebabkan penduduk kampung terutama warga emas terpaksa menggunakan kereta sapu dengan bayaran RM10 untuk ke Pekan Kuala Klawang yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Peradong.
“Bayaran dikenakan tidak wajar dan saya memohon perkhidmatan ini diwujudkan kembali walaupun bas dibekalkan hanya bas mini atau bas 'roti paun'. Bahkan, kalau perkhidmatan diwujudkan dua kali sehari ia sudah memadai," katanya.
Bagi Zapiee Md Ludin, 55, ibu bapa di kawasan berkenaan terpaksa menghantar anak-anak ke sekolah berikutan tiada perkhidmatan bas sedangkan mereka mampu berdikari.
“Saya takut ada yang sudah tidak tahu macam mana menggunakan perkhidmatan bas.
“Oleh itu, saya harap pihak berkaitan dapat mengambil serius mengenai masalah ini kerana ia memberi kesan besar kepada warga emas dan ibu-ibu tunggal untuk bergerak ke pekan berhampiran," katanya.
0 comments:
Post a Comment