1/19/10

Terbengkalai bangkit amarah

Sinar Harian 19 Jan 2010

PERMATANG

PASIR – Penduduk tinggal paling berhampiran projek naik taraf di Jalan Permatang Pasir yang terbengkalai hampir dua minggu lalu meluahkan perasaan tidak berpuas hati.


Hal ini berikutan projek terbengkalai itu menyebabkan pelbagai masalah antaranya debu dan habuk mengakibatkan kehidupan seharian mereka terganggu.


Selain itu kejadian kemalangan banyak berlaku mengakibatkan kecederaan parah.


Penduduk yang rata-ratanya bakal menyambut Perayaan Tahun Baru Cina pertengahan Februari depan nekad menutup jalan berkenaan dengan melonggokkan tanah di atas jalan jika tidak segera dibaiki.


Penduduk, Sam Kin Sun, 37, berkata, tiada jalan lain menyelesaikan masalah itu selain menutupnya jika pihak berkenaan lepas tangan terhadap punca permasalahan.


Menurutnya, penduduk di sini yang menanggung semua akibat daripada kerja sambil lewa sesetengah pihak.

“Memandangkan jalan ini betul-betul berhadapan rumah menyebabkan ibu saya perlu sentiasa mencuci lantai dan meja kerana habuk banyak.


“Saya sudah tidak tahan dengan habuk yang ‘menyerang’ rumah terutamanya apabila waktu tengah hari ditambah pelbagai kenderaan berat melalui jalan ini,” katanya.


Kin Sun berkata, ada penduduk di sini yang tidak tahan dengan habuk dan debu terpaksa berpindah ke rumah anaknya serta hanya akan pulang apabila permasalahan itu berakhir.


“Saya sudah menghabiskan lebih RM500 untuk menyewa jentera bagi meratakan tanah di hadapan rumah yang dilonggokkan kontraktor


“Saya terpaksa mengambil inisiatif tersebut bagi memudahkan kenderaan kami sekeluarga keluar masuk,” katanya.


Dia mendakwa, kontraktor tidak mengemas semula tanah dikorek dalam proses menaik taraf jalan menyebabkannya menanggung kesukaran keluar masuk rumah.


“Begitu juga keadaannya dengan paip saluran air ke rumah kami yang dibiarkan berselerak di atas jalan malah ada yang pecah.


“Kami penduduk di sini terpaksa membaiki paip berkenaan kerana jika tidak bekalan tersebut terputus ke rumah,” katanya.


http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6387872.asp

0 comments: