Berita Harian 9 Feb 2010

DUA kuda yang dibiarkan bebas meragut di kawasan perkuburan Kampung Indah, Bahau.
Tanah perkuburan Islam Kampung Indah turut dikotori najis haiwan liar
BAHAU: Kawasan perkuburan selalunya dijaga rapi bagi mengelak pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab yang cetek ilmu untuk melakukan aktiviti pemujaan selain penagih dadah yang hilang kewarasan menjadikan kawasan itu markas mereka.
Kebiasaannya tanah perkuburan Islam dipagar, manakala di dalamnya pula dipenuhi pokok besar yang meredupkan kawasan redup.
Secara keseluruhannya, kawasan kubur sentiasa dijaga dan dihormati kerana ia membawa pelbagai maksud dan pengalaman kepada setiap orang.
Namun, perkara berbeza berlaku di Tanah Perkuburan Islam Kampung Indah yang terletak berhampiran bandar ini.
Sudahlah kawasan itu kurang terjaga dengan rumput dan lalang tumbuh meliar, kini ia menjadi sasaran haiwan liar termasuk kuda dan anjing untuk mencari makanan dan berteduh.
Haiwan terbabit dikatakan memasuki kawasan itu melalui pagar yang sudah roboh mengelilingi kawasan perkuburan itu.
Ruzila Yusof, 30, yang menetap di kawasan berhampiran tanah perkuburan itu mendakwa sering melihat anjing dan kuda menceroboh masuk dan berkeliaran di dalamnya tanpa sesiapa pun peduli.
“Saya sering melihat haiwan itu di situ pada waktu pagi dan petang. Saya pun tidak tahu sama ada mereka haiwan liar atau dibela kerana penjaganya tidak pernah kelihatan.
“Kehadiran haiwan terbabit di kawasan itu sangat mengganggu saya kerana tanah perkuburan sepatutnya dijaga dan dipelihara dengan baik,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Katanya, kehadiran haiwan terbabit yang berkeliaran di kawasan itu juga menimbulkan perasaan tidak selesa kepada penduduk yang datang menziarah atau melakukan pengebumian dan terpaksa menghalau binatang itu terlebih dulu.
Osman Jailani, 30, pula mendakwa semua haiwan itu mempunyai pemilik namun mengambil sikap sambil lewa membiarkan mereka berkeliaran mencari makan sendiri.
“Saya berharap pemilik mengawasi haiwan mereka supaya tidak menceroboh masuk tanah perkuburan Islam itu. Kita tidak mahu kawasan itu dicemari najis,” katanya.
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Wilayah/20100209092800/Article/index_html
0 comments:
Post a Comment