2/17/10

Lagi lemas di Port Dickson

Sinar Harian 17 Feb 2010

PORT DICKSON – Belum pun reda kesedihan tiga keluarga apabila salah se-orang daripadanya mati lemas ketika berkelah di pantai Port Dickson seperti yang dilaporkan Sinar Harian semalam, sekali lagi pantai Port Dickson dikejutkan dengan penemuan mayat remaja lemas.

Mayat V Neetheya Raj, 19; yang dilaporkan lemas di pantai Port Dickson kelmarin, ditemui pasukan penyelamat berdekatan tempat mangsa dilaporkan lemas, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan K Baljeet Singh berkata, mangsa ditemui kira-kira 12. 30 tengah hari, semalam selepas 22 jam dilaporkan lemas di Pantai Batu 1, di sini.

Operasi mencari dilancarkan Pasukan Bomba dan Penyelamat Port Dickson dan Telok Kemang de-ngan bantuan Polis Marin sejak dilaporkan lemas kira-kira 2 petang kelmarin.

“Mayat mangsa kemu-diannya dihantar ke Hospital Port Dickson, di sini, untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya petang semalam,” katanya.

Sementara, suasana tegang seketika apabila ahli keluarga mangsa enggan ditemu ramah media sehingga sanggup menolak beberapa wartawan yang sedang menunggu.

Difahamkan, mereka datang dari Pantai Dalam, Kuala Lumpur untuk bercuti sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Seorang rakan mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, keluarga terbabit berkelah di pantai berkenaan sempena cuti Tahun Baru Cina dan ia merupakan percutian bagi Neetheya sebelum melanjutkan pelajaran di sebuah universiti tempatan tidak lama lagi.

“Tetapi malang, hajatnya untuk melanjutkan pelajaran tidak kesampaian, begitu juga hasrat keluarganya mahu melihat anaknya belajar di universiti.

“Neetheya seorang rakan yang baik dan sebab itulah kami datang beramai-ramai ke sini untuk mencari mayat Neetheya sehingga lewat malam dengan harapan mayatnya dijumpai,” katanya.

Menurutnya, rakan-rakan tetap mengharapkan mayat Neetheya dibawa ombak dan terdampar di persisiran pantai.

“Sudah berulang-ulang kali kami mencari di sekitar pantai ini sehingga ke satu tahap kami terlihat sesuatu dan apabila dihampiri rupanya ia adalah seketul batu di tengah-tengah pantai,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Insiden yang menimpa Neetheya sekali gus merupakan kejadian kedua berturut-turut sejak kematian seorang remaja lelaki, B Minot, 15; kira-kira 4 petang Ahad lalu.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian di kawasan pantai mendapati tiada sebarang papan pemberitahuan ‘larangan mandi’ diletakkan di kawasan itu.

Menurut sumber daripada pihak berkuasa tempatan, kawasan ini sebenarnya merbahaya daripada aspek keselamatan dan merupakan kawasan yang tidak sesuai untuk mandi.

Berikutan kejadian semalam, MIC Telok Kemang mengambil langkah meletakkan papan pemberitahuan bahawa Pantai Batu 1 Port Dickson adalah kawasan larangan untuk mandi kerana beberapa faktor keselamatan dan akan berbincang mengenai perkara ini dengan Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Port Dickson.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6824637.asp

0 comments: