Sinar Harian 24 Feb 2010
KUALA PILAH – Penduduk sebuah kampung, di sini, mendakwa tapak pembakaran batu-bata di sebuah kilang berdekatan rumah mereka mengundang pencemaran sehingga menjejaskan keselesaan hidup seharian.
Penduduk mendakwa, sebelum ini pihak berkuasa pernah ‘turun padang’ melihat sendiri masalah mereka, bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan menyebabkan penduduk terus berdepan masalah yang merimaskan itu.
Mereka turut mendakwa masalah itu sudah berlarutan hampir 20 tahun dan mungkin lebih awal dari itu kerana berdasarkan rekod, kilang itu beroperasi sejak 1992.
Akibatnya, penduduk kampung mendakwa, mereka terdedah kepada risiko penyakit seperti asma dan batuk berikutan tapak pembakaran itu hanya terletak kurang daripada 200 meter dari rumah mereka.
Setiap jam hidu asap
Seorang penduduk, Ali Arifin, 67, yang tinggal kira-kira 50 meter dari tapak itu berkata, tapak pembakaran di situ telah wujud sekitar 90an.
“Ketika itu, kilangnya masih kecil dan penduduk tidak ramai seperti hari ini. Tetapi kepadatan penduduk setiap tahun semakin bertambah, begitu juga keluasan kawasan kilang berkenaan. Perniagaan mereka telah berkembang maju, pastinya produk batu-bata meningkat.
“Oleh kerana itu, mereka melakukan pembakaran batu-bata setiap jam, sepanjang hari. Mereka bijak mengelirukan penduduk. Waktu siang pembakaran tidak seaktif pada waktu malam memandangkan malam sunyi, tambah pula gelap, sudah tentunya asap berkepul-kepul tidak kelihatan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.
Menurutnya, dia kurang senang apabila setiap pagi terpaksa membersihkan kawasan rumah yang kotor akibat kesan daripada habuk pembakaran batu- bata.
“Rumah saya yang paling dekat, kira-kira 50 meter sahaja. Memang kalau berlaku pembakaran, habuk-habuk akan ke rumah saya dahulu barulah ke kawasan berhampiran. Saya difahamkan status tanah ini bukan tanah rizab kilang, tetapi tanah orang kampung yang disewa.
“Memang kawasan rumah dan lantai rumah dicuci setiap hari kerana ada kesan hitam habuk. Apabila berjalan ada habuk hitam di tapak kaki. Pinggan mangkuk juga perlu dicuci setiap kali hendak menggunakannya,” katanya.
Menurutnya, kesan habuk memang boleh dibersihkan tetapi mereka sudah tidak tahan lagi mengharungi masalah itu setiap hari dan berharap pihak berkuasa memandang serius perkara itu.
Menurutnya, warga emas sepertinya mudah menghidapi penyakit seperti asma jika keadaan persekitaran tidak bersih dan berlaku pencemaran udara.
“Tahap kesihatan pada peringkat usia seperti ini memang sensitif. Saya mempunyai penyakit asma begitu juga dengan ahli keluarga,” katanya.
Sementara itu, Abd Khalid Ibrahim, 61, berkata, akibat daripada pembakaran itu, seisi keluarganya menghidapi penyakit asma dan baru-baru ini salah seorang ahli keluarganya dimasukkan ke hospital kerana penyakit tersebut.
“Saya juga menghidapi asma dan sentiasa membawa ubat-ubatan. Habuk berterbangan hingga menyebabkan daun-daun pokok rosak dan berwarna hitam. Saya juga memasang alat pendingin hawa untuk mengelakkan habuk masuk ke dalam rumah.
Jemu buat aduan
“Begitu juga, pokok ditanam di kawasan rumah bagi mengurangkan pencemaran. Saya bimbang jika perkara ini terus berlarutan, dikhuatiri perkara lebih teruk akan berlaku. Saya berharap pihak berkaitan dapat mengenal pasti masalah ini dengan lebih terperinci dan mengambil tindakan segera,” katanya.
Khalid berkata, penduduk juga sudah jemu menghantar surat kepada pihak bertanggungjawab berhubung masalah ini namun tiada sebarang kata putus daripada pihak terbabit.
“Sudah beberapa tahun saya menghantar surat kepada pihak berkaitan. Pihak mereka juga telah turun padang melihat keadaan kawasan pembakaran batu-bata itu, tetapi penduduk kampung masih tidak mengetahui status sebenar.
“Pihak berkenaan perlu maklumkan kepada penduduk kampung atau Ketua Kampung mengenai perkara yang berlaku dan jangan dibiarkan masyarakat di sini terkapai-kapai seolah-olah tiada sebarang tindakan susulan,” katanya.
Selain itu, katanya, kayu balak juga tidak sepatutnya ada di kawasan kilang berkenaan kerana berpendapat, hanya kilang papan sahaja yang boleh menyimpan kayu balak.
“Saya berharap pihak berkaitan dapat pandang serius tentang hal ini dan mengambil tindakan segera jika pihak terbabit melakukan kesalahan. Di samping itu, perlu juga memandang berat tentang tahap kesihatan penduduk di sini.
“Kami berharap kilang ini dapat dipindahkan ke tempat lain supaya tiada sebarang masalah berlaku dan pencemaran udara dapat dikurangkan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Md Nor Othman berkata, kawasan pembakaran batu-bata ini memang terlalu dekat dengan kawasan rumah orang kampung.
“Pihak berkaitan telah turun padang melihat status tanah dan lesen mereka tetapi sehingga kini saya tidak mengetahui apa keputusan pihak tersebut.
“Oleh itu, saya mencadangkan agar pihak bertanggungjawab dapat memberi penerangan kepada penduduk kampung di sini mengenai masalah ini sama ada dapat diselesaikan ataupun tidak,” katanya.
Menurutnya, jika tiada jalan penyelesaian, apakah yang perlu dilakukan untuk sama-sama mengatasinya.
“Perkara ini perlu diberitahu kerana sehingga kini, kami tidak perkembangannya,” katanya.
Menurutnya, ia perlu untuk kebaikan penduduk kampung supaya hilang resah setiap hari, tambahan pula terpaksa menghidu udara tercemar akibat pembakaran batu- bata itu.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6853268.asp
0 comments:
Post a Comment