Utusan Malaysia 30April 2010

Keretakan serius jelas dan membahayakan pengguna Jejambat Jalan Labu, Seremban, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
RASAH 29 April - Jejambat di Jalan Labu, Seremban dekat sini diancam keretakan serius apabila struktur penyambung dikesan mula renggang dan membahayakan pengguna jalan raya.
Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Seremban (MPS), Thomas Chong yang meninjau jejambat berkenaan hari ini berkata, keadaan itu boleh mengancam nyawa orang ramai yang menggunakan laluan tersebut ke kawasan sekolah, industri dan taman perumahan.
''Saya telah melihat keadaan jejambat itu, nyata sambungannya semakin renggang dan membahayakan pengguna jalan raya.
''Dari bahagian atas jejambat itu, saya dapat lihat laluan kereta api di bahagian bawahnya," katanya sewaktu ditemui di lokasi berkenaan dekat sini.
Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri membuat penilaian dan memberi kepastian terhadap struktur jejambat tersebut termasuk aspek keselamatan agar tidak membimbangkan pengguna jalan raya.
''Saya lihat jarak regangan itu ketika ini ialah kira-kira 91 sentimeter," ujarnya.
Katanya, regangan itu berlaku di antara sisi penghadang jejambat sebelah kiri hinggalah ke bahagian kanan yang dianggarkan sejauh 10 meter.
''Kajian perlu dibuat segera. Kita tidak mahu sebarang tragedi buruk berlaku, tambahan pula di bahagian bawah merupakan laluan kereta api," katanya.
Thomas juga menasihatkan pengguna jalan raya terutamanya kenderaan berat yang menggunakan laluan ini supaya berhati-hati atau mencari alternatif lain untuk memasuki kawasan tersebut.
''Pengguna jalan raya terutamanya kenderaan, saya nasihatkan supaya tidak memecut di jejambat itu dan berhati-hatilah," katanya.
Thomas menganggarkan sebanyak 2,000 pengguna jalan raya menggunakan jejambat tersebut setiap hari termasuklah kenderaan berat.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0430&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_05.htm
0 comments:
Post a Comment