4/30/10

Pembantu ADUN dipukau

Sinar Harian 30 April 2010

SEREMBAN – Pembantu peribadi kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temiang, di sini, kerugian hampir RM3,500 dalam bank simpanannya selepas didakwa dipukau sekumpulan sindiket pencurian dalam satu kejadian di bandar ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi Sabtu lalu, mangsa Yap Sing Kin, 56, dikatakan sedang menge-luarkan wang simpanan berjumlah RM50 di salah sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di bandar ini.

Dia mendakwa ketika mengeluarkan wang berkenaan, seorang lelaki datang memukau dengan cara menepuk bahu belakang ba-dannya.

Lantas katanya, penje-nayah terbabit dipercayai lebih daripada seorang bertindak menukarkan kad ATM milik mangsa kepada kad ATM yang lain.

“Ketika itu, saya tidak mengesyaki apa-apa, tetapi secara tiba-tiba dia (penjenayah) menepuk bahu belakang dan menyuruh saya mengambil duit syiling RM1 yang dikatakan jatuh di lantai.

“Saya tunduk ke bawah lalu terus mengambil duit berkenaan tanpa mensyaki apa-apa, tetapi ketika itu kad ATM milik saya masih berada di mesin ATM berkenaan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di pejabat ADUN Temiang, di sini semalam.

Menurut Sing Kin, kejadian berlaku dengan pantas dan dia tidak menyedari kad ATMnya telah bertukar.

Menurutnya, ketika kejadian, tidak ramai pelanggan berada di situ melainkan dirinya serta dua pelanggan lain.

“Hanya saya dan dua pelanggan berada di bank berkenaan termasuk suspek dan saya mensyaki dua pelanggan berkenaan merupakan rakan kepada suspek,” katanya.

Sing Kin berkata, dia bagaimanapun terkejut apabila menyedari wang simpanannya lesap ketika memeriksa baki wang di mesin ATM, Rabu lalu apabila mendapati kad tersebut tidak boleh digunakan.

“Ketika saya mahu melakukan transaksi semula, saya terkejut apabila kad ATM milik saya tidak dapat digunakan.

“Setelah dibuat semakan terperinci, pihak bank memberitahu kad ATM itu bukan milik saya dan pihak mereka turut memaklumkan wang simpanan saya berkurangan sebanyak RM3,500.

Berikutan kejadian itu, Sing Kin membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, kelmarin.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7630095.asp

0 comments: