Sinar Harian 16 April 2010
DIOH – Tahap kualiti air di Kampung Dioh membim-bangkan apabila segelintir masyarakat mengalami demam, batuk dan selesema didakwa berpunca air paip disalurkan ke rumah.
Penduduk yang ingin dikenali sebagai Sundram berkata, air paip disalurkan ke rumah menjadi keruh setiap kali hendak digunakan.
Menurutnya, perkara itu sudah berlarutan selama lebih dua bulan.
“Air tidak berbau tetapi ia kelihatan seolah-olah air minuman bergas.
”Mungkin klorin air berlebihan dan selang beberapa saat kemudian air semakin jernih seperti sedia kala,” katanya.
Sundram berkata, mereka terpaksa menggunakan air itu memandangkan tiada sumber lain.
“Setelah air ditapis, barulah kami menggunakannya untuk memasak, basuh kain dan mandi,” katanya.
Menurutnya, aduan sudah dilakukan tetapi tiada tindakan daripada pihak berkaitan untuk meninjau keadaan itu.
“Saya tidak pasti adakah mereka sudah turun padang atau tidak, tetapi yang penting masalah itu masih berlaku. Kami memang tidak tahu punca bagaimana ia terjadi tetapi air itu memang dari paip yang disalurkan ke rumah.
“Ini amat membimbangkan penduduk kerana air adalah sumber dan bekalan penting untuk hidup. Jika menggunakan air tidak bersih dan kualitinya tidak memuaskan, kesannya kepada kesihatan kita,” katanya.
Sundram berkata, penduduk sangsi hendak menggunakan air tersebut hingga terpaksa memasak air selama beberapa jam demi mengelakkan sebarang perkara buruk.
“Masalah ini difahamkan hanya berlaku di kawasan ini berdasarkan beberapa tinjauan yang pernah saya lakukan di tempat lain.
“Saya berharap pihak berkaitan dapat memandang perkara ini dengan serius supaya ia tidak memudaratkan kesihatan penduduk,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7570979.asp
0 comments:
Post a Comment