5/11/10

Banjir kilat 50 rumah tenggelam

Sinar Harian 11 Mei 2010

KAMPUNG AIR GELAM – Hujan lebat selama empat jam mengakibatkan beberapa kawasan di Kampung Air Meleleh dan Kampung Gelam dilanda banjir kilat.

Ketua kampungya, Osman Suhaimi berkata, kejadian itu mengakibatkan 50 rumah mengalami kerugian dengan pelbagai kerosakan kerana rumah mereka dinaiki air.

Menurutnya, faktor penyum-bang kepada berlakunya bencana alam itu disebabkan keadaan longkang sudah tidak berfungsi dengan baik.

“Sistem perparitan dan saliran di kawasan ini berada di tahap teruk dan mengakibatkan salirannya tersumbat dan air hujan bertakung di kawasan ini.

“Masalah perparitan sudah berlarutan sejak pertengahan tahun lalu dan permasalahan ini telah diadukan kepada pihak berkenaan, bagaimanapun tidak tahu sejauh mana tindakan mereka ambil. Jelasnya, masalah ini masih belum dapat diselesaikan dan mengakibatkan banjir kilat,” katanya.

Osman berkata, longkang asal di kawasan ini adalah longkang tanah dan beberapa kali permohonan untuk naik taraf longkang konkrit telah dikemukakan.

“Sejak sistem perparitan dan saliran itu tidak berfungsi, kawasan kampung dan taman perumahan sekitar mengalami tiga kali banjir kilat dan ini adalah yang terburuk dan melibatkan jumlah mangsa paling ramai.

“Terdapat kawasan yang airnya naik sehingga ke paras lutut dan banyak harta benda penduduk rosak. Banjir berlaku dengan cepat mengakibatkan mereka tidak sempat untuk mengemas dan menyelamatkan harta benda mereka.

“Banjir kilat surut sekitar jam 3 petang pada hari yang sama,” katanya.

Osman berkata, dalam kejadian itu, Pegawai Daerah, Ab Khalid Mat bersama Jurutera Daerah turun pandang menjalankan tinjauan terhadap punca permasalahan terbabit.

“Menerusi maklum balas Pegawai Daerah kerja menaik taraf longkang itu sudah berada di dalam perancangan dan akan segera dilaksanakan,” katanya.

Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menyalurkan bantuan makan tengah hari kepada mangsa banjir dan Ketua Kampung juga diarahkan untuk mengemukakan laporan polis serta senarai penuh mangsa untuk tindakan selanjutnya daripada JKM.

Kawasan jalan lama Port Dickson dan Taman Negeri dan beberapa kawasan lain sekitar Port Dickson turut dilaporkan mengalami banjir kilat.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7675459.asp

0 comments: