5/4/10

Kedai semak , peniaga 6 kali dirompak

bhnews@bharian.com.my
2010/05/04

Keadaan premis di Taman Pinggiran Senawang seperti bangunan terbengkalai

SENAWANG: Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang membuang sampah merata-rata menyebabkan deretan kedai di Taman Pinggiran Senawang, di sini, dicemari longgokan sampah sehingga menjadikan premis berkenaan kelihatan seperti bangunan terbengkalai. Tidak cukup dengan masalah itu, premis berkenaan juga tidak berjaga.

Banyak tingkap premis yang tidak berjaga itu dipecahkan manakala dinding pula diconteng kumpulan remaja nakal. Kawasan berkenaan juga berhadapan masalah takungan air busuk serta semak-samun terbiar dan dikhuatiri menjadi habitat hidupan liar, sekali gus membahayakan penduduk.

Seorang peniaga, S Mahadevan, 53, mendakwa pernah melihat beberapa lori sering keluar masuk ke kawasan berkenaan dipercayai melakukan pembuangan sampah.

"Ini menyebabkan kawasan kedai saya tercemar dan berbau busuk. Selain itu, keadaan sampah itu turut boleh menyebabkan pembawaan penyakit akibat pembiakan nyamuk aedes dan tikus yang boleh membahayakan kesihatan penduduk sekitar.

"Kes demam denggi di taman ini meningkat dan baru-baru ini terdapat satu kes kematian berpunca daripadanya. Saya berharap pihak terbabit menyedari kesalahan dilakukan kerana ia boleh mendatangkan pelbagai masalah bukan saja kepada peniaga, malah kepada penduduk," katanya.

Mohd Aidi Abdul Karim, yang mengusahakan bengkel kereta, mendakwa kebanyakan pemilik kedai hanya sekadar membeli kemudahan itu tetapi tidak mengambil tahu keadaan premis seperti memeriksa aspek keselamatan serta membersihkan kawasan menyebabkan semak-samun memenuhi kawasan.

"Semak-samun di lorong belakang deretan kedai tidak sepatutnya dibiarkan kerana ia boleh membahayakan. Beberapa bulan lalu, semak yang terlalu tebal dan tinggi itu menyebabkan pasukan bomba menghadapi kesukaran memadamkan api di satu premis terbabit," katanya.

Selain itu, dakwanya, dia pernah menghalau beberapa orang pelajar yang sering melepak di beberapa buah kedai terbiar berhampiran bengkelnya kerana bimbang mereka menjadikan kawasan itu sebagai tempat melakukan aktiviti tidak bermoral.

Seorang peniaga yang enggan dikenali pula mendakwa, premis runcitnya pernah dirompak sebanyak enam kali sepanjang tempoh beroperasi di kawasan itu sejak 2003.

"Saya terpaksa menanggung kerugian RM50,000 akibat kejadian itu dan saya percaya ia berlaku kerana keadaan persekitaran premis yang memudahkan penjenayah melakukan kerja," katanya.

Namun, dia kini sedikit lega selepas Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di taman perumahannya bertindak melantik anggota Rela membuat rondaan di sekitar taman perumahan, sejak beberapa minggu lalu.

"Dengan adanya rondaan, saya yakin masalah berkaitan jenayah dan aktiviti tidak bermoral dapat dikurangkan. Namun, saya berharap pemilik kedai yang sebelum ini mengabaikan tanggungjawab dapat menjaga premis mereka supaya kawasan ini tidak kelihatan seperti bangunan terbengkalai," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_Kedai_semak_/Article

0 comments: