5/28/10

Tunggu pilihanraya atau mati baru buat jambatan


Bayangkan inilah laluan utama makcik untuk pergi ke kelas masakan mahupun mesyuarat yang dianjurkan KEMAS untuk golongan wanita di sini. Malah, ada warga emas kampung ini tercampak ke sungai dari basikalnya berikutan terlanggar bendul jambatan sehingga terkena serangan jantung ketika menggunakan jambatan berkenaan.

Kesian betul rakyat di negeri di tadbir BN, masalah dan derita mereka jarang diketengahkan media cetak dan elektronik.

Perlukah ada pilihanraya kecil di tempat ini macam diceritakan di sini http://amkns.blogspot.com/2010/05/perlukah-ada-pilihanraya-kecil-di-johor.html

************************
'JAMBATAN SERAM'
Berita Harian 28 Mei 2010

Penduduk Kampung Parit Lapis Batu Puteh dakwa kayu beluti rosak angkara lori sawit

BATU PAHAT: Jambatan di Kampung Parit Lapis Batu Puteh, Simpang Lima, di sini umpama perangkap maut kerana keadaannya yang uzur dengan kayu beluti di bahagian tengahnya sudah reput, tidak stabil serta bahaya untuk digunakan sebarang kenderaan.

Tinjauan Edisi Johor ke jambatan berkenaan mendapati kemudahan itu hanya menanti hari untuk rebah ke dalam sungai dengan sebahagian besar beluti sudah tertanggal serta pecah akibat kerap digunakan kenderaan berat termasuk lori. Malah, ada penduduk terutama yang menunggang basikal terpaksa turun dan menyorong kenderaan mereka kerana bimbang tercampak ke dalam sungai apabila melalui bahagian jambatan yang tidak mempunyai beluti.

Pengait kelapa sawit, Halimah Abdullah, 49, yang kerap menggunakan laluan berkenaan berkata, beliau terpaksa turun dan meniti jambatan itu perlahan-lahan setiap kali menggunakannya kerana bimbang tayar basikalnya tersangkut di dalam lubang.

“Jambatan ini pernah runtuh tetapi sudah dibaiki tiga tahun lalu, namun kini rosak kembali berikutan kerap digunakan lori mengangkut sawit yang menggunakan laluan ini sebagai jalan pintas untuk ke jalan besar.

“Namun, yang menanggung masalahnya adalah penduduk kampung seperti makcik yang menggunakan basikal. BAYANGKAN INILAH LALUAN UTAMA MAKCIK UNTUK PERGI KE KELAS MASAKAN MAHUPUN MESYUARAT YANG DIANJURKAN KEMAS UNTUK GOLONGAN WANITA DI SINI.

“Makcik pun naik seram menggunakan jambatan ini kerana ada bahagian bila dipijak kayu beluti peroi dan tertanggal. Malah, makcik bimbang tercampak ke dalam sungai kerana bahagian tengah jambatan ini terlalu jarang hingga tayar basikal boleh terperosok ke dalam lubang jika tidak berhati-hati, "katanya ketika ditemui di jambatan berkenaan baru-baru ini.

Halimah berkata, pernah seorang penunggang motosikal daripada Sri Medan nyaris tercampak ke dalam sungai berikutan tayarnya terperosok di dalam lubang tetapi dapat menyelamatkan dirinya.

“Malah, ada warga emas kampung ini tercampak ke sungai dari basikalnya berikutan terlanggar bendul jambatan sehingga terkena serangan jantung ketika menggunakan jambatan berkenaan. Jika boleh makcik harap jambatan berkenaan digantikan dengan jambatan konkrit bagi keselamatan pengguna malah penghadang besi juga boleh dibina bagi menghalang lori berat melaluinya," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung ( JKKK) berkenaan, Abu Bakar Adam, 50, berkata pihaknya memang ada menerima aduan daripada penduduk kampung yang kerap menggunakan jambatan itu.

“Kami sudah mengajukan masalah itu kepada ketua kampung, malangnya beliau sudah meninggal dunia menjadikan masalah jambatan berkenaan kini tertunggak.

“JKKK kampung ini juga pernah menegur pemandu lori supaya tidak menggunakan jambatan ini tetapi kami pula ditempelak mereka yang mengatakan jambatan ini adalah kemudahan awam dan sesiapa saja boleh menggunakannya tetapi siapa mahu bertanggungjawab apabila keadaan jambatan ini semakin teruk dan membahayakan pengguna lain, " katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor__Jambatanseram_/Article/index_html

0 comments: