6/23/10

143 terseksa sejak tujuh tahun

Utusan Malaysia 23 Jun 2010


Kilang papan yang didakwa penduduk menyebabkan habuk dan bunyi bising di Kampung Parit Lintang Satu Separap, Parit Sulong, Batu Pahat.

--------------------------------------------------------------------------------

BATU PAHAT 22 Jun - Bunyi bising serta udara tercemar dari sebuah kilang kayu di Taman Perindustrian Sri Sulong 'mengganggu' kehidupan 143 penduduk di Kampung Lintang Satu Separap, Parit Sulong dekat sini sejak tujuh tahun lalu.

Seorang penduduk yang rumahnya hampir dengan kilang berkenaan, Hamdan Surani, 47, mendakwa, bunyi bising dan habuk yang berterbangan dari kilang berkenaan amat 'menyeksa' keluarganya.

Menurutnya, kedudukan kilang yang hanya kira-kira 150 meter dari rumahnya benar-benar memberi tekanan kepada mereka terutamanya semasa hendak melelapkan mata setiap malam.

"Habuk dari kilang berkenaan akan berterbangan dibawa angin dan rumah saya sering dipenuhi habuk," katanya semasa ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Lebih menyeksakan, bunyi bising daripada kilang yang beroperasi 24 jam sehari itu amat mengganggu tidur mereka dan anak-anak tidak dapat belajar dengan tenang.

Katanya, ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) dan agensi berkenaan.

"Mereka turut mengakui yang kilang terbabit melanggar had pencemaran terutamanya bunyi yang ditetapkan apatah lagi kilang itu terlalu hampir dengan kawasan penempatan penduduk. Tapi peliknya, bagaimana kilang kayu itu boleh dibenarkan beroperasi di kawasan berdekatan penempatan penduduk," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung, Mohd. Zainuddin Abdul Samad mengakui penduduk sering mengadu kepadanya mengenai kilang terbabit yang beroperasi sehingga hampir 24 jam dan mengeluarkan bunyi terlalu bising sepanjang masa.

Beliau berkata, penduduk kini amat tertekan dan bosan kerana pencemaran yang berlaku terutama bunyi bising mengganggu kehidupan harian mereka.

Katanya, JAS telah sedia maklum dengan masalah ini dan wakil kilang terbabit turut menemui penduduk kampung bagi mendengar keluhan mereka tetapi sehingga kini masalah itu tiada jalan penyelesaian.

"Kami semua berharap agar kilang terbabit dapat dipindahkan ke kawasan lain kerana ia kilang industri berat dan tidak sesuai didirikan di kawasan terlalu hampir dengan penempatan penduduk," katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati bukan sahaja kedudukan kilang berkenaan terlalu hampir dengan penempatan penduduk Kampung Parit Lintang Satu tetapi juga berhampiran beberapa kampung serta taman perumahan.

Difahamkan kilang berkenaan telah diminta memasang jaring menahan habuk atas arahan JAS tetapi ia hanya dibuat pada separuh kawasan kilang berkenaan dan habuk masih lagi mencemari udara di kawasan sekitarnya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0623&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_05.htm

0 comments: