6/18/10

Beriadah di tempat usang, busuk



Sinar Harian 18 Jun 2010

MASJID TANAH – Biarpun menyedari risiko bakal ditanggung, sebahagian penduduk sekitar kawasan ini masih memberanikan diri menggunakan Dewan Masjid Tanah, dekat sini untuk aktiviti riadah.

Dalam keadaan dewan tidak sempurna, selain keadaan lampu siling yang sudah terkulai dan akan jatuh bila-bila masa, keadaan itu sudah semestinya membahayakan pengguna dewan berkenaan.

Ditambah lagi dengan masalah tahi burung, kelawar serta tikus bertaburan sehingga mengundang bau busuk.

Bagaimanapun, mereka tidak ada pilihan lain, selain menggunakan kemudahan dewan itu untuk aktiviti riadah memandangkan tiada lagi tempat sesuai di kawasan sekitar.

Wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Paya Rumput, Ithnin Minhat, 53, berkata dewan berkenaan terbiar sejak kira-kira enam tahun lalu.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang usaha untuk membaik pulih kemudahan berkenaan.

“Sudah banyak kali aduan disalurkan kepada pihak berkenaan, namun hingga hari ini masih tiada tindakan diambil. Memang ia menjadi tumpuan penduduk bermain badminton di situ tetapi keadaannya tidak selesa,” katanya.

Ithnin berkata, biarpun begitu, bayaran untuk menggunakan dewan terbabit tetap dikenakan sebanyak RM6 sejam .

“Bukan saja kita yang bermain terpaksa keluar duit untuk menggunakan dewan ini, tetapi pernah mengambil inisiatif mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi membaiki kemudahan di sini.” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Bagi Saiful Bahri Harun, 42, yang merupakan pengunjung tetap dewan itu juga memberi reaksi sama berhubung keadaan dewan berkenaan.

“Lampu siling sudah tercabut dan cuma bergantung kepada wayar mampu mengundang bahaya kepada sesiapa saja yang berada di bawahnya.

“Lampu itu juga sudah terkulai dan akan jatuh bila-bila masa. Ada sesetengah ibu bapa datang membawa anak-anak dan keadaan ini amat bahaya terutama mereka yang tidak sedar keadaan itu,” katanya.

Menurutnya, jika dulu dewan itu menjadi tumpuan masyarakat setempat berbilang kaum untuk pelbagai majlis, namun kini tiada siapa lagi mahu menggunakannya akibat kecewa dengan keadaannya.

Seorang penduduk, Hee Kuang How, 50, turut meluahkan kekesalan atas sikap pihak tidak mengambil berat tentang kemudahan di situ.

“Ini adalah satu-satunya gelanggang badminton yang ada di kawasan ini, tetapi jika tidak diselenggara dengan baik, bagaimana ia boleh berfungsi kepada orang ramai.

“Bagaimanapun, kami tetap datang kerana tiada gelanggang lain untuk dijadikan tempat sukan badminton,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7829648.asp

0 comments: