JEJAK UKHUWWAH

JEJAK UKHUWWAH

6/12/10

Bumiputera Sarawak merintih mohon bantuan


Apa sudah jadi ? Penduduk asal Sarawak merintih mohon bantuan. Inilah dinamakan kera di hutan disusukan , anak di rumah mati kelaparan. “Macam mana kami hendak pergi, sudahlah pekan Tatau jauh berjam-jam perjalanan bot, duit tambang pun tidak ada. Di tempat kami juga selalu banjir. Baru-baru ini, banjir agak besar, rumah panjang suku kaum lain dapat bantuan, tetapi kami langsung tidak ada,” katanya.

Apakah pemimpin masih bermegah-megah dengan bilangan jutawan yang ramai di Malaysia ? Anak-anak mula sekolah umur 5 tahun ? Beli kapal selam ? Beli Sukhoi ? Buat kereta perisai RM 8 Billion ?

30 tahun penduduk dekat loji Lichok tunggu bekalan bersih
http://amkns.blogspot.com/2010/06/tiada-air.html

Teramat kurang pendakwah Islam di Sarawak
http://amkns.blogspot.com/2010/06/teramat-kurang-pendakwah-islam-di.html

Penduduk Sarawak kekurangan air bersih
http://amkns.blogspot.com/2010/06/penduduk-sarawak-kekurangan-air-bersih.html

Penduduk Kuching Sarawak hidu bau busuk
http://amkns.blogspot.com/2010/06/penduduk-kuching-sarawak-hidu-bau-busuk.html

10 tahun jambatan tak siap siap di Sarawak
http://amkns.blogspot.com/2010/06/10-tahun-jambatan-tak-siap-siap-di.html

*******************************
Beketan merintih mohon bantuan, kerja kampung sara hidup

Berita Harian 12 Jun 2010

Penghuni Rumah Panjang Sekaya yang tersisih arus pembangunan kini semakin derita sumber rezeki dicemari kerja pembalakan

"CUBA cerita sikit pasal peneroka di Semenanjung, saya dengar mereka sekarang hidup senang,” tanya Tuai (Ketua) Rumah Panjang Sekaya, Sekaya anak Tulong, sebaik penulis memulakan perbualan ketika berkunjung ke rumah panjang di hulu Sungai Penyarai, pedalaman Tatau, Sarawak, baru-baru ini. Mendengar pertanyaan itu, terkedu juga penulis kerana tidak menyangka penduduk suku kaum Beketan yang tinggal jauh di pedalaman ingin tahu mengenai perkara itu, tambahan pula kejayaan peneroka Felda dimaksudkan itu bukan lagi perkara baru. Belum pun sempat penulis bercerita lanjut mengenai perkara itu, beberapa lagi soalan dikemukakan:

“Kenapa kerajaan tidak bangunkan tanah di tempat kami ini, kalau ada projek macam tempat mereka, tanam sawit atau getah, setidak-tidaknya ada juga peluang pekerjaan untuk kami. Kehidupan kami di rumah panjang ini susah, malah jika dibandingkan dengan suku kaum lain di Tatau, kami yang paling ketinggalan dan ramai penduduk miskin.”

Pengakuan Sekaya yang pernah sembilan tahun menjadi guru sementara di beberapa sekolah rendah di daerah Tatau sebelum menjadi tuai rumah pada 1990, ada kebenarannya.

Melihat persekitaran Rumah Panjang Sekaya sepanjang 25 bilik (unit) dengan penduduk 166 orang itu, keadaannya ternyata berbeza berbanding Rumah Panjang Ado didiami suku kaum Punan Kakus dan Rumah Panjang Jalong (etnik Tatau).
Rumah Panjang Sekaya satu daripada empat rumah panjang suku kaum Beketan di pedalaman Tatau. Tiga lagi ialah Rumah Panjang Oat, Kanyan dan Malou. Selain tinggal di kawasan pedalaman sama, suku kaum Beketan juga tergolong dalam etnik Orang Hulu di daerah Tatau, selain Punan Kakus, Tatau, Kayan dan Kenyah.

Sungguhpun hidup susah, Sekaya dan anak buahnya serta penduduk Beketan lain akur hakikat bahawa mereka perlu berusaha bagi meneruskan kehidupan dengan melakukan pelbagai kerja kampung secara sara diri.

“Ramai anak muda Beketan belajar sampai Tingkatan Lima, tetapi mereka tidak dapat kerja. Hendak kerja di kem balak, tauke pula tidak mahu terima kerana lebih suka ambil orang Indonesia berikutan upahnya murah,” kata anak Tuai Rumah Panjang Oat, Rasok anak Oat.

Ketika singgah seketika di rumah panjang itu dalam perjalanan ke Rumah Panjang Sekaya, pelbagai cerita dan rungutan mengenai kesukaran hidup mereka disampaikan penduduk kepada penulis.

Seorang penduduk, Keluk anak Sanun, berkata untuk menyara hidup keluarga, mereka tiada pilihan lain dan terpaksa meneruskan tradisi menanam padi huma, menangkap ikan di sungai serta mencari daun sayur di hutan.

“Kadangkala padi huma kami tanam tidak menjadi. Ikan di sungai pula tidak macam dulu. Sekarang tiada lagi kerana airnya cetek, selain tercemar dipercayai berpunca aktiviti pembalakan di hulu.

“Tidak lama dulu ada juga projek membiak ikan di sungai depan rumah kami. Banyak anak ikan dilepaskan dan dalam tempoh tertentu kami dilarang menangkap ikan di kawasan berkenaan.

“Projek itu bagus, tetapi malangnya ia gagal kerana ikan mati berikutan air sungai kotor. Kami dilarang tangkap ikan, tetapi syarikat balak membuatkan air sungai kotor tidak larang pula,” katanya sinis.

Sambil menjelaskan kerap juga orang kerajaan datang ke rumah panjang itu meninjau kehidupan mereka dan berjanji memberi bantuan, pelbagai jenis borang turut diisi, tetapi sampai sekarang belum menerimanya.

Keluk berkata, pihak kebajikan masyarakat juga ada membuat temu duga untuk memberi bantuan kepada penduduk susah, tetapi proses itu diadakan di pekan Tatau.

“Macam mana kami hendak pergi, sudahlah pekan Tatau jauh berjam-jam perjalanan bot, duit tambang pun tidak ada. Di tempat kami juga selalu banjir. Baru-baru ini, banjir agak besar, rumah panjang suku kaum lain dapat bantuan, tetapi kami langsung tidak ada,” katanya.

Sekaya ketika ditanya perkara itu mengesahkan beliau dan penduduk rumah panjangnya yang juga terbabit banjir hingga merosakkan tanaman dan peralatan tidak menerima sebarang bantuan.

Beliau yang mendapat tahu mangsa banjir itu layak menerima bantuan RM300, manakala ganti rugi peralatan pertanian pula RM1,000 berkata, penduduk rumah panjang lain turut mendapat subsidi enjin bot.

Bagi membantu penduduk Beketan, katanya, sebelum ini ada diwujudkan beberapa skim antaranya penanaman koko dan lada hitam, tetapi tidak berjaya kerana harga dua komoditi itu dikatakan sangat murah menyebabkan mereka melakukan kerja lain.

Antara pekerjaan kampung yang popular di kalangan penduduk Beketan terutama golongan muda ialah memotong kayu belian, jika mengikut Sekaya ia dilakukan secara tradisi sejak 50 tahun lalu.

Berikutan itu, katanya, tidak hairanlah jika kayu keras yang hanya wujud di Sarawak itu semakin pupus dan mereka pula terpaksa mencarinya jauh ke dalam hutan.

Walaupun taraf hidup orang Beketan lebih rendah berbanding suku kaum lain, mereka mempunyai keistimewaan tersendiri, antaranya setiap rumah mendapat bekalan air bersih yang disalurkan dari bukit berhampiran sejak 1982.

Beliau berkata, bekalan elektrik pula sama seperti di rumah panjang lain, terpaksa menggunakan generator dan hanya mampu memasangnya sekitar dua atau tiga jam setiap malam kerana harga diesel mahal.

“Jika kerajaan ingin membantu, saya cadangkan mini hidro diwujudkan di sini untuk mendapatkan bekalan elektrik, sumbernya mudah kerana ada air terjun sesuai untuk tujuan itu tidak jauh dari sini,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/MisteriEtnik_Beketanmerintihmohonbantuan_kerjakampungsarahidup/Article

No comments: