6/11/10

Johor , Busuk, nyamuk biak

Berita Harian 11 Jun 2010

Kilang kitar hasilkan pencemaran bau, bunyi

MUAR: Kewujudan kilang kitar semula di Kampung Tengah, dekat sini, yang mula beroperasi sejak kira-kira tiga bulan lalu, menimbulkan keresahan di kalangan penduduk sekitarnya, terutama Taman Budiman yang terletak bersebelahan kilang yang didakwa melakukan pencemaran bau, bunyi dan udara selain menjadi tempat pembiakan nyamuk. Penduduk mendakwa kilang itu yang terletak di tepi Laluan Pintas Muar menyebabkan kehidupan mereka tidak tenteram sehingga tidak dapat membuka pintu dan tingkap berikutan pencemaran udara dan bau terutama setiap kali kilang berkenaan membakar plastik. Tinjauan Edisi Johor mendapati kilang itu hanya dipisahkan oleh pagar zink dengan Taman Budiman dan lokasi yang terlalu dekat itu menyebabkan penduduk boleh mendengar bunyi kuat jentera melakukan kerja, selain berlaku pencemaran udara akibat habuk dan asap.

Seorang penduduk, Kamarul Ariffin Md Saat, 46, berkata beliau sekeluarga tinggal di Taman Budiman sejak kira-kira tiga tahun lalu sebelum kilang itu dibina di kawasan seluas kira-kira satu hektar.

“Sejak kilang itu dibuka kami terpaksa hidup dalam suasana tidak tenteram apabila terganggu akibat pencemaran bau busuk dan udara tercemar, selain mendapati nyamuk semakin banyak dipercayai akibat kewujudan kilang kitar semula berkenaan, " katanya.

Beliau bimbang dengan keadaan itu yang jika tidak diatasi segera akan menyebabkan masalah lain termasuk wabak denggi dan masalah kesihatan akibat daripada pencemaran udara, bunyi serta bau.
Sehubungan itu beliau meminta pihak berkuasa supaya mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu bagi memastikan kesejahteraan penduduk sekitar Kampung Tengah.

Penduduk, Chiew Meng Hwa, 53, yang mengidap penyakit jantung, berkata pencemaran akibat kilang kitar semula itu menyebabkan beliau terpaksa menutup semua pintu dan tingkap bagi mengurangkan pencemaran.

Katanya, kesan pencemaran itu juga menyebabkan beliau dan isteri yang tinggal bersebelahan dengan kilang itu, sering mengalami masalah sesak nafas serta batuk dipercayai akibat pencemaran bau dan udara.

“Kilang itu turut membakar plastik dan sisa kitar semula pada waktu petang sehingga malam menyebabkan wujud kepulan asap dan bau yang menusuk hidung, selain menyebabkan saya turut sesak nafas, " katanya.

Katanya, beliau sudah membuat aduan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai pencemaran yang dilakukan kilang berkenaan tetapi sehingga kini tiada tindakan lanjut dijalankan mungkin disebabkan kilang terbabit hanya membakar plastik pada waktu petang sehingga malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Chiew berharap tindakan tegas dikenakan terhadap pemilik kilang itu kerana kilang itu tidak sesuai diadakan di kawasan berhampiran perumahan, sebaliknya perlu dipindahkan di kawasan perindustrian bagi menjaga kesejahteraan penduduk.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Busuk_nyamukbiak/Article

0 comments: