6/7/10

Masalah pojek terbengkalai di Pahang


Penduduk minta MDJ atasi masalah projek berkenaan

NOR Samsuddin Ahmad RJ. A. Latiff menunjukkan projek perumahan terbengkalai Taman Pedah Permai di Jerantut Feri, Jerantut, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
Utusan Malaysia 7 Jun 2010

JERANTUT 6 Jun - Penduduk meminta Majlis Daerah Jerantut (MDJ) menyelesaikan segera isu projek perumahan terbengkalai di Taman Pedah Permai, Jerantut Feri di sini yang menimbulkan pelbagai masalah sosial.

Mereka mendakwa, walaupun masalah itu pernah diadukan kepada MDJ tetapi ia tidak pernah diatasi malah tiada sebarang maklum balas diterima.

Tinjauan Utusan Malaysia di tapak projek itu mendapati kawasan berkenaan dipenuhi pokok dan semak-samun di samping tinggalan sisa-sisa bahan binaan.

Kawasan yang tidak dipagari itu telah diceroboh pihak bertanggungjawab dan haiwan ternakan sehingga menimbulkan pencemaran serta mengganggu keselesaan penduduk berdekatan.

Ketua Kampung Jerantut Feri, Sabri Kamaludin berkata, lebih 30 unit rumah terbengkalai di Taman Pedah Permai itu kini menjadi lokasi kegiatan tidak sihat oleh sesetengah pihak.

"Keadaan ini menyebabkan ia menjadi tempat pihak tertentu melakukan kegiatan tidak senonoh dan menjadi punca beberapa masalah lain.

"Tiada tanda-tanda projek ini akan disiapkan sama ada oleh pemaju asal atau pemaju yang lain," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini hari ini.

Sehubungan itu, Sabri meminta pemaju menyegerakan projek tersebut supaya kawasan di sekitarnya lebih ceria, selamat dan memberi keselesaan kepada penduduk berhampiran.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jerantut Feri, Nor Samsuddin Ahmad RJ. A. Latiff berkata, sehingga kini pihaknya tidak tahu status projek itu dan pembeli rumah berkenaan.

Beliau berharap PBT mengesan pemaju berkenaan dan mencari alternatif memulihkan projek yang terbengkalai itu.

Pengerusi Biro Keselamatan dan Dadah JKKK Jerantut Feri, Mohd. Jailani Hamid berkata, kawasan projek yang dipenuhi semak samun itu memberi kesempatan pihak bertanggungjawab melakukan maksiat dan penagihan dadah.

Sementara itu, Pengerusi Biro Kebersihan dan Keceriaan JKKK Jerantut Feri, Hashim Zainuddin berkata, kawasan projek perumahan terbengkalai itu menjadi tempat pembuangan sampah dan haiwan peliharaan.

Tambahnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya meninjau kawasan itu dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0607&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pahang&pg=wp_01.htm

0 comments: