
Sinar Harian 18 Jun 2010
AIR TAWAR – Jika sebelum ini, keadaan jalan menghubungkan 20 keluarga di Jalan Air Tawar Baroh sempurna dan selesa, namun ia berubah wajah sejak setahun lalu.
Penduduk mendakwa, keadaan itu berlaku kerana laluan itu turut dikongsi bersama kenderaan berat yang membawa muatan untuk kerja-kerja pembinaan sebuah sekolah di situ.
Penduduk, Aduka Din, 56, berkata, jalan mula pecah dan rosak teruk selepas digunakan kenderaan itu.
“Ini sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk yang tinggal di sini. Keadaan ini menyebabkan penduduk tidak selesa menggunakannya dan boleh menyebabkan kereta rosak.
“Apatah lagi jika selepas hujan, jalan berlubang menakung air sehingga penduduk bimbang sesuatu yang buruk berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, sebelum ini terdapat kenderaan berat yang membawa muatan daripada sebuah kilang perabot di kawasan berhampiran.
“Namun begitu, pemilik kilang berkenaan bertanggungjawab dengan membaiki semula jalan jika ada kerosakan,” katanya.
Sementara itu, pengusaha kafe di situ Zulkefli Mantan, 52, mendakwa, perniagaannya turut mengalami kerugian kerana pelanggan yang semakin kurang mengunjungi kawasan tersebut.
Katanya, kebanyakan pelanggan tidak mahu datang ke kafenya pada sebelah malam kerana bimbang kenderaan mereka akan mengalami masalah jika melalui jalan itu.
“Berbanding dahulu, ramai pelanggan yang datang untuk makan dan minum di kafe saya, tetapi kini untuk dapat RM10 setiap malam pun susah.
“Penduduk di sini terseksa untuk melalui jalan ini, apatah lagi memikirkan anak-anak yang mahu keluar ke kelas mengaji al-Quran pada waktu malam. Jalan di sini banyak kelopak air, debu dan kadangkala kenderaan terkandas di lubang jalan khususnya selepas hujan,” katanya.
Zulkefli mendakwa, penduduk ada mengadu kepada pihak tertentu supaya dapat bertanggungjawab atas kerosakan jalan di sini.
“Kita meminta pihak berkaitan dapat mengambil tahu mengenai keadaan jalan di sini. Kita mohon agar ia dapat dikembalikan seperti sedia kala seperti dahulu dan pihak terlibat dapat bertanggungjawab,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7829547.asp
0 comments:
Post a Comment