6/24/10

Penduduk Johor Tak larat hidu najis



Berita Harian 24 Jun 2010

Rumah penduduk Kampung Parit Lintang 2 dimasuki air kumbahan setiap kali banjir

BATU PAHAT: Kira-kira 260 penduduk Kampung Parit Lintang 2, Separap di sini tidak boleh bersabar lagi apabila dihantui masalah pencemaran bau luar biasa sejak 12 tahun lalu kerana parit di kampung berkenaan menjadi laluan utama air kumbahan dari kawasan penempatan berhampiran iaitu Taman Industri Sri Sulong.

Tinjauan Edisi Johor baru-baru ini mendapati lima saluran longkang dari taman berkenaan menyalurkan air kumbahan ke parit di kampung berkenaan untuk disalurkan ke Sungai Simpang Kiri, di sini, menyebabkan kawasan sekitar begitu busuk. Penduduk di situ terpaksa menjalani kehidupan harian dalam keadaan tidak selesa dan sering menghadapi penyakit termasuk gatal dan batuk, malah lebih buruk lagi sebahagian rumah penduduk di situ sudah beberapa kali ditenggelami air najis dari parit berkenaan terutama selepas hujan lebat.

Apa yang menjadi persoalan, bagaimana pemaju kawasan perumahan dan perindustrian berkenaan dibenarkan menyalur dan melepaskan air kumbahan yang belum diproses ke parit di kampung berkenaan dan terus ke Sungai Simpang Kiri.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Kampung berkenaan, Mohd Mokhtar Daud berkata, penduduk kampung berkenaan berdepan masalah pencemaran berkenaan selepas taman perumahan dan perindustrian itu dihuni sejak 12 tahun lalu.

"Bayangkan penderitaan kami apabila terpaksa menghidu bau parit di hadapan rumah yang dipenuhi dengan bahan buangan daripada air kumbahan, sisa makanan dan sisa industri daripada taman berhampiran.
"Kualiti udara di sini juga teruk hingga penduduk sering sakit dan kami bercadang untuk menutup lima saluran longkang dari kawasan perumahan itu bagi memastikan air najis dan sampah sarap tidak memasuki parit di kampung itu, jika tiada tindakan diambil pihak berkenaan dalam masa terdekat.

"Biar penduduk dan kilang di taman itu pula rasa apa yang kami di sini rasa apabila air najis memasuki rumah sehingga mencecah paras betis jika banjir kilat berlaku di sini," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Separap, Mohd Zainuddin Abdul Samad, ketika ditemui berkata, penduduk kampung berkenaan sering mengadu kepadanya mengenai masalah pencemaran bau yang terpaksa mereka tanggung sejak sekian lamanya.

"Penduduk sering menyuarakan kekesalan mereka setiap kali diadakan mesyuarat mahupun perjumpaan dan meminta masalah ini diselesaikan segera atau mereka akan bertindak menutup lima saluran longkang dari taman berkenaan.

"Saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat memantau perkara ini dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengakhiri penderitaan yang ditanggung penduduk kampung," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor__Taklarathidunajis_/Article

0 comments: