6/11/10

Penduduk Melaka terseksa menunggu bas


Sinar Harian 11 Jun 2010

PAYA RUMPUT - Bukan sahaja sukar mendapatkan kemudahan bas, malah penduduk di sekitar Taman Paya Rumput Indah di sini terpaksa berhujan dan berpanas setiap kali mahu menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam kerana ketiadaan pondok menunggu bas di kawasan berkenaan.

Paling terasa kesan daripada keadaan itu adalah mereka yang tidak memiliki kenderaan persendirian, terutama pelajar.

Penduduk mendakwa, selain terpaksa menunggu lama umendapatkan bas, mereka juga terpaksa berdiri atau duduk mencangkung tiap kali menantikan kedatangan bas.

Kakitangan swasta, Sharizal Abas, 27, berkata, walaupun kemudahan awam seperti sekolah ada disediakan namun kesukaran pasti akan timbul setiap kali mereka mahu ke Bandaraya Melaka dengan bas awam.

Menurutnya, dia terpaksa berdiri lama dan adakala terpaksa duduk di atas tunggul kayu kerana ketiadaan tempat khas bagi menunggu bas.

“Susahlah di sini sebab tiada pondok menunggu bas. Setiap hari macam inilah keadaan saya terpaksa berdiri di tepi jalan dan adakala terpaksa duduk atas tunggul kayu atau kotak kayu terbuang.

“Saya berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengkaji hal ini sebab kami semua sangat mengharapkan kewujudan pondok menunggu bas,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Fazilah Mat Rafar, 30, pula berkata, penduduk yang bergantung pada perkhidmatan awam turut menghadapi kesukaran kerana perkhidmatan tidak tentu masa.

“Kadang-kadang saya terpaksa menunggu sehingga lebih setengah jam untuk menaiki bas. Sudahlah bas lambat, saya terpaksa berdiri lama pula.

“Harap kerajaan cepat-cepat sediakan pondok menunggu bas di sini. Tidak perlu buat cantik-cantik, asalkan ada tempat duduk dan berbumbung cukuplah,” katanya.

Terdapat lebih 7,000 penduduk mendiami sekitar kawasan perumahan Taman Paya Rumput Indah di sini, namun anehnya tidak disediakan kemudahan menunggu bas.

“Setiap kali musim hujan, kami terpaksa berhujan me�nunggu bas. Bayangkan, jika tiba-tiba pula hujan lebat, mana kami nak berteduh,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7797081.asp

0 comments: