6/12/10

Resort Melayu Terengganu dianaktirikan


********************************
Longkang dipenuhi pasir pantai punca banjir

Utusan Malaysia
12 Jun 2010

Para pekerja resort yang terpaksa menggali lubang bagi mengorek longkang yang tersumbat di Kuala Terengganu.
---------------------------------------------------

KUALA TERENGGANU 11 Jun - Longkang yang tersumbat lazimnya akibat dipenuhi sampah-sarap namun lain pula yang berlaku pada longkang di sebuah resort peranginan di Pantai Batu Buruk dekat sini.

Ini kerana longkang utama di situ kini sudah terlindung di sebalik timbunan pasir sedalam lebih dua meter sehingga menyebabkan aliran air tersekat.

Saliran air yang tersekat itu menyebabkan air di longkang kecil bertakung teruk sehingga menyebabkan bau yang kurang menyenangkan.

Lebih memburukkan keadaan apabila pintu air utama longkang tersebut yang terletak berdekatan di sebuah resort peranginan tidak berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan resort terbabit menjadi mangsa kerana sering dinaiki air dan paling menyedihkan bau busuk turut menjengah ke kawasan resort itu.

Pegawai Eksekutif Akaun Batu Burok Beach Resort, Mohd. Fauzi Mohd. Taib berkata, masalah tersebut mula berlaku apabila pintu air yang dibina kira-kira dua tahun lalu itu tidak berfungsi dengan baik.

Katanya, pintu air yang berfungsi secara automatik itu tidak terbuka pada waktu yang telah ditetapkan menyebabkan limpahan air longkang di sepanjang resort berkenaan.

Tambahan pula ujarnya, disebabkan longkang utama berada berdekatan pesisir pantai menyebabkan pasir yang dibawa ombak pada waktu air pasang menutupi longkang berkenaan.

"Kejadian ini berlaku sejak lebih lima tahun lalu dan sejak itu tiada apa yang dibuat oleh pihak bertanggungjawab untuk mengatasi masalah tersebut.

"Apa yang menjadi masalah, setiap kali tiba musim tengkujuh kawasan ini akan dilanda banjir teruk akibat daripada kesan longkang yang tersumbat itu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jelasnya, pihak resort telah berusaha untuk mengatasi masalah berkenaan dengan menjalankan kerja-kerja pembersihan pasir yang menutupi longkang tersebut setiap bulan.

Namun, katanya, kos tinggi yang terpaksa ditanggung kerana perlu menyewa jengkaut untuk membersihkan pasir sedalam dua meter menyebabkan kerja-kerja pembersihan dikurangkan.

Tambahnya, apa yang merumitkan tidak sampai seminggu kerja-kerja pembersihan pasir tersebut dijalankan, longkang itu kembali dilitupi pasir yang dibawa ombak.

"Kami terpaksa menggali keluar pasir yang melitupi pintu air berkenaan sekerap yang mungkin jika tidak, pasti air longkang akan melimpah keluar setiap kali musim hujan.

"Bayangkan setiap bulan kami terpaksa membayar upah jengkaut sekitar RM100 hingga RM400 sebulan semata-mata untuk mengorek timbunan pasir itu," jelasnya.

Jelasnya, pihak hotel telah beberapa kali melaporkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) namun kedua-dua pihak tersebut hanya menuding masalah itu antara satu sama lain.

Ujarnya, dia amat berharap masalah yang telah berlarutan sejak lima tahun itu dapat diselesaikan segera sebelum musim tengkujuh kembali melanda.

"Insiden pada tahun 2008 di mana ketika itu air bah memenuhi bilik-bilik hotel sehingga menyebabkan beberapa kemudahan rosak teruk masih tidak dapat dilupakan.

"Pada ketika itu, pagar hotel turut runtuh selain menyebabkan seluruh hotel berbau busuk dan kami terpaksa menanggung kerugian lebih RM1 juta," jelasnya.

Dalam pada itu, seorang pengguna yang hanya ingin dikenali sebagai Timah Yasin, 57, mengakui kawasan tersebut sering banjir jika hujan lebat.

Jelasnya yang sering menjamu selera di medan selera berdekatan, pernah satu ketika kawasan medan selera tersebut turut ditakungi banjir kerana longkang utama tersumbat dengan pasir.

Tambahnya, saliran air yang dilitupi pasir berkenaan seharusnya diselenggara dengan sebaiknya bagi mengelakkan ia mengundang bahaya kepada pengunjung di sekitar pantai tersebut.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0612&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_05.htm

0 comments: