6/17/10

Roboh rumah jika tidak setuju


Sinar Harian 17 Jun 2010

ALOR GAJAH – Keengganan pemilik dua Rumah Mesra Rakyat di sini menandatangani surat penyerahan surat dan kunci rumah menyebabkan mereka diberi kata dua.

Pemiliknya, Abdul Gapar Salam, 40, mendakwa, pihak berkenaan bertindak kurang wajar apabila memaklumkan akan merobohkan semula rumah tersebut jika mereka masih berdegil.

Menurutnya, dia menunggu lebih setahun untuk menduduki rumah dijanjikan.

Dia mendakwa, struktur pembinaan rumah itu yang berada dalam keadaan membimbangkan membuatkannya berasa tidak selamat.

“Saya ragu-ragu dengan kualiti bahan digunakan untuk membina rumah ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Dakwa Abdul Gapar, bahan menyokong struktur rumah tidak kukuh dan dikhuatiri membahayakan jika tidak diselenggara segera.

“Jumlah kayu yang menyokong bumbung rumah sangat kurang dan sudah lama. Apabila datang kontraktor lain untuk membaiki, mereka cuma menambah dan memaku semula kayu tersebut.

“Itu yang menyebabkan apabila cuaca hujan, siling rumah akan mula melembap dan berkemungkinan runtuh pada bila-bila masa,” katanya.

Pemilik lain, Ziti Salwa Abdul Rahman, 40, mendakwa, mereka sekeluarga bimbang untuk tinggal di rumah itu kerana terdapat banyak masalah dalaman.

“Lantai retak yang sangat teruk hingga menyebabkan tiga kali ia dipecahkan dan disimen semula,” katanya.

Menurutnya, lampu juga tidak berfungsi dan wayar elektrik tidak diselenggarakan dengan baik.

Dia mendakwa kecewa kerana aduan kepada pihak berkenaan tidak diambil tindakan sewajarnya.

“Dia datang cuma mahukan tandatangan. Jika kita terus menerima, mereka mungkin lepas tangan dan biarkan keadaan rumah ini terus begini,” katanya.

Salwa berkata, dia bukan mahu merungut tetapi inginkan pembelaan supaya semua pihak berasa puas hati.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7824316.asp

0 comments: