6/11/10

Rumah terbengkalai Kerajaan negeri Johor diminta campur tangan

Utusan Malaysia 11 Jun 2010

AINOL Adnan Osman (dua dari kanan) menunjukkan memorandum bersama pembeli rumah Bandar Baru Pulai Jaya, semalam.
--------------------------------------------------------

NUSAJAYA 10 Jun - Seramai 83 pembeli projek perumahan Bandar Baru Pulai Jaya, dekat sini merayu kerajaan negeri campur tangan dalam urusan pembinaan projek berkenaan yang sudah terbengkalai sejak 2007.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Bandar Baru Pulai Jaya, Ainol Adnan Osman, 33, berkata, setelah tiga tahun menanti, projek perumahan yang dijanjikan pemaju itu tidak menampakkan sebarang kemajuan.

Katanya, pelbagai sesi pertemuan sudah diadakan bersama pihak pemaju sebelum ini namun, gagal menemui sebarang jalan penyelesaian dan para pembeli di sini terpaksa menanggung bebanan hutang yang sangat tinggi.

''Dari 2007 kami telah bertemu pemaju, malah, mereka berjanji akan menyiapkan projek perumahan tersebut secara berperingkat, namun, sehingga hari ini tiada sebarang tindakan yang diambil.

''Rata-rata pembeli berpendapatan sederhana, kami terpaksa menyewa di tempat lain, dalam masa yang sama terpaksa membayar pinjaman perumahan bagi rumah yang masih belum dapat diduduki," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum mengenai masalah tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kerja Raya dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil di pejabatnya di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Ainol berkata, kebanyakan rumah di situ sudah siap antara 50 hingga 80 peratus dan berharap agar kerajaan negeri dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Dia juga berharap agar satu pertemuan khas dapat diadakan di antara para pembeli, pemaju dan pihak kerajaan negeri bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk masalah berkenaan.

''Kami harap pemaju terbabit dapat menyiapkan projek berkenaan secepat mungkin kerana kami sudah tidak sanggup lagi untuk menunggu," katanya.

Seorang pembeli, Fong Guey Ling, 31, berkata, dia berasakan seolah-olah sudah ditipu dan terkilan kerana sehingga ke hari ini masih belum dapat memiliki rumah yang dibelinya.

Katanya, dia terpaksa menanggung bebanan kewangan yang sangat tinggi apabila terpaksa membayar ansuran perumahan sekitar RM650 sebulan dan pada masa yang sama terpaksa membayar sewa rumah yang didudukinya pada waktu ini.

"Saya rasa macam ditipu, kita nampak rumah dari tepi jalan, kita bayar tiap-tiap bulan pada bank, tapi sampai sekarang tak boleh duduk dalam rumah itu," katanya.

Seorang lagi pembeli, Goh Woei Jiek, 30, berkata, dia membeli rumah tersebut kerana jaraknya begitu hampir dengan tempat kerjanya tetapi tidak menyangka perkara seperti itu akan berlaku.

"Saya kerja di Senai, jika saya tinggal di rumah sedia ada memerlukan 40 minit untuk ke tempat kerja, tetapi sekiranya rumah ini dapat disiapkan, hanya lima minit sudah sampai.

"Tapi apabila jadi macam ini, saya sangat kecewa sudah lama tunggu, pinjaman bank kena bayar tapi sampai sekarang rumah tak siap," katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_06.htm

0 comments: