6/22/10

Sampah berulat depan pintu di Johor



Berita Harian 22 Jun 2010

Penduduk Jalan Sungai Abong tak larat hidu busuk setiap hari

MUAR: Kerja mengutip sampah yang tidak mengikut jadual terutama membabitkan kawasan perumahan sekitar Jalan Sungai Abong, di sini didakwa menyebabkan penghuni terpaksa mengambil jalan mudah dengan membuang sampah-sarap dan sisa pepejal di kawasan terbuka, termasuk di bahu jalan dan di persimpangan jalan utama di jalan berkenaan.

Beberapa penghuni mendakwa mereka terpaksa berbuat demikian kerana sampah-sarap dan sisa pepejal yang dimuatkan di dalam tong, di depan kediaman masing-masing sudah penuh. Penghuni, Yunus Ahmad, 50, berkata selain diselongkar haiwan sama ada kucing dan anjing, sampah yang lewat diangkat di dalam tong di depan pintu rumahnya akan berulat dan busuk serta melimpah ke bahu jalan. Justeru, katanya, beliau dan penghuni lain tidak mempunyai kaedah lain untuk mengatasi masalah itu, selain membuang sampah-sarap dan sisa pepejal di tempat terbuka yang jauh dari kawasan rumah.

“Kami perlu berbuat demikian kerana tidak tahan dengan bau meloyakan yang meresap ke dalam rumah, setiap kali membuka pintu sehingga menjejaskan kesihatan dan selera makan.

“Walaupun isu sampah sarap yang lambat diangkat dalam kawasan perumahan sering dilaporkan dalam media, masalah itu tidak diatasi dan berlarutan hingga kini,” katanya.

Yunus mendakwa sebelum ini, lori pengangkut sampah masuk ke dalam kawasan perumahan itu setiap dua hari sekali, tetapi sejak kebelakangan ini, kerja mengutip sampah dilakukan sehingga enam hari sekali dan kadang-kadang melebihi seminggu.
Beliau berkata, penduduk juga mengalami pencemaran bau yang teruk sebaik sampah yang berulat dan busuk di dalam tong sampah diangkat oleh lori pengangkut sampah.

“Air sampah daripada dalam lori melimpah di permukaan jalan yang bukan saja mengotorkan jalan raya tetapi turut menyebabkan pakaian yang dijemur di ampaian turut dicemari bau busuk," katanya.

Sementara itu, Jamal Abdul Nasir, 50, berkata lebih menyedihkan lagi apabila sampah-sarap yang lambat diangkat di dalam kawasan perumahan menjejaskan majlis perkahwinan yang diadakan pada musim cuti persekolahan baru-baru ini.

Katanya, beliau terkejut apabila mendapati sampah-sarap dan sisa pepejal yang berlonggok di beberapa persimpangan jalan dalam kawasan perumahan ketika menghadiri majlis perkahwinan di sebuah taman perumahan di Jalan Sungai Abong, minggu lalu.

“Selain mencemarkan pemandangan, longgokan sampah sarap itu juga boleh menimbulkan rasa kurang senang tetamu juga tuan rumah yang menganjurkan majlis berkenaan.

"Berikutan itu, penduduk mahu masalah itu mendapat perhatian pihak berwajib selaras dengan moto pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Muar Bandar Bersih dan Indah,” katanya.

Tinjauan mendapati antara bahu jalan yang menjadi lokasi pembuangan sampah terbuka ialah di kawasan perumahan KKDTI 2 dan 5, Taman Pertama Indah dan Taman Baru Sungai Abong.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Sampahberulatdepanpintu/Article

0 comments: