Berita Harian 10 Jun 2010
Penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru terdedah wabak
KOTA KINABALU: Walaupun menetap di kawasan pekan yang diiktiraf kawasan hijau tanpa sampah, penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru di sini, mendakwa keadaan perumahan itu tidak menggambarkan status berkenaan kerana banyak sampah memenuhi longkang di sekeliling. Jurucakap penduduk mendakwa, keadaan itu menimbulkan pelbagai ancaman seperti bau busuk, gigitan nyamuk dan serangan tikus yang dikhuatiri boleh menyebabkan jangkitan penyakit seperti denggi dan penyakit bawaan tikus. Katanya, kegagalan pihak pengurusan perumahan melaksanakan kerja penyelenggaraan secara sempurna menjadi punca situasi itu yang didakwanya sudah lama berlaku, berdasarkan keadaan longkang yang ditumbuhi rumput panjang.
"Dilihat dari jauh memang tiada masalah tetapi kalau dari dekat kita boleh nampak sebahagian longkang di perumahan ini ditumbuhi rumput panjang dan dipenuhi sampah.
"Ia menyebabkan longkang tersumbat dan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Tikus juga banyak berkeliaran pada waktu malam menyebabkan penduduk bimbang dijangkiti penyakit," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.
Tinjauan Berita Harian mendapati sampah plastik seperti botol kosong bekas air minuman dan pembungkus makanan berselerak di antara rumput panjang yang tumbuh dalam longkang di blok depan rumah pangsa itu.
Timbunan sampah dalam longkang turut kelihatan di hadapan pejabat mini Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) yang bertanggungjawab mengurus perumahan berkenaan.
Walaupun dimiliki LPPB, difahamkan kerja penyelenggaraan kebersihan dan bangunan dilakukan syarikat swasta yang dilantik agensi itu.
Seorang penduduk yang sudah 30 tahun tinggal di kawasan itu mendakwa, aduan penduduk mengenai masalah longkang tersumbat dan isu lain seperti kerosakan paip pembetung jarang dihiraukan.
"Sudah kerap kami ajukan keadaan ini kepada pihak pengurusan tetapi mereka tidak mengambil berat. Sekarang sebahagian siling dan dinding rumah di sini juga ada yang retak.
"Cara pengurusan menyelenggara perumahan ini menggambarkan seolah-olah mereka tidak ambil kisah usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menaik taraf Tanjung Aru sebagai pekan hijau tanpa sampah," katanya.
Beliau berkata, pihak pengurusan hanya tahu mengutip sewa RM170 sebulan tetapi tidak pernah mengambil tahu masalah dihadapi penduduk di kawasan perumahan itu.
Perumahan empat tingkat itu, katanya, dihuni kira-kira 1,000 penduduk dengan sebahagian besarnya golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu memiliki rumah sendiri.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sabah_Sarawak_Sampahdalamlongkang/Article
0 comments:
Post a Comment