KAMI BERSAMA MU

KAMI BERSAMA MU

6/15/10

Sejak Bila TNB bertindak macam samseng ?


Dah berapa lama TNB buat kerja macam ni ? Ceroboh tanah penduduk kampung untuk tanam kabel elektrik. Adakah ini kes terpencil , kes pertama , atau ada lagi kes-kes lain yang tidak dilaporkan. SPRM usah tunggu laporan untuk siasat. Cerita ada di Blog SELAMATKAN PAHANG http://selamatkanpahang.blogspot.com/

***********************************
KECOH, PENDUDUK HALANG TNB CEROBOH TANAH

TEMERLOH, 15 Jun: Ketegangan tercetus apabila penduduk kampung Bangau Tanjung, dekat sini, telah bertindak membantah tindakan kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) menceroboh tanah mereka dengan mengorek tanah untuk ditanam kabel elektrik.

Bagaimanapun kira-kira 30 orang polis dikerahkan berkawal di lokasi panas itu.

Menurut penduduk, walaupun arahan pemberhentian projek berkenaan telah dikeluarkan secara bersurat oleh Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh dan persetujuan telah dicapai antara tiga pihak melibatkan pejabat daerah, TNB dan penduduk kampung untuk menyelesaikannya, namun pihak penceroboh tidak patuh.

Tanah mereka telah dikorek oleh jentera bagi tujuan pemasangan laluan kabel daripada pencawang Songsang untuk membekalkan elektrik kepada bangunan kedai di tapak pasar lama yang baru siap di bandar ini.

Pengerusi jawatankuasa bertindak, Nazri Sulaiman, 55, ketika ditemui Selamatkan Pahang, memberitahu, pihak penduduk telah mendapat jaminan projek berkenaan dihentikan serta merta.

“Surat daripada pejabat daerah telah dikeluarkan mengarahkan pemberhentian serta merta projek mengorek tanah untuk menanam kabel di atas tanah penduduk itu. Tetapi mereka ingkar dan masuk menceroboh tanpa notis macam lanun”.

“Penduduk sedang berurusan dengan peguam untuk meminta pampasan,” jelasnya.

Seorang lagi penduduk yang terlibat, Roslan Ishak, berkata TNB jelas menceroboh kerana tiada status sebenar projek berkenaan kerana tidak pernah diberi penerangan mahupun diberitahu sedangkan tanah yang dikorek merupakan tanah milik kekal penduduk kampung.

“Notis masuk kerja tidak ada dan papan tanda projek pun tidak ada. Notis daripada pejabat tanah juga tidak ada bahkan bila kami merujuk ke sana mereka tidak tahu menahu. Jadi kami tidak tahu status tanah yang diambil ini. Sebab itu kami mahu tahu siapa yang benarkan projek ini dijalankan atau atas arahan siapa kerja-kerja ini dibenarkan”.

“Kami mahu tahu adakah berlaku penyelewengan oleh mana-mana pihak sebab pihak kontraktor boleh bekerja tanpa merujuk kepada penduduk kampung sebagai tuan tanah. Kami mahu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nasuk menyiasat,” jelasnya.

Sumber : http://selamatkanpahang.blogspot.com/2010/06/kecoh-penduduk-halang-tnb-ceroboh-tanah.html

No comments: