Berita Harian 10 Jun 2010
Binaan tak ikut spesifikasi menyebabkan batu bergerak selepas dihempas ombak
BATU PAHAT: Ratusan hektar kebun di sepanjang Pantai Punggur, Rengit, dijangka terjejas dan mungkin hilang ditenggelami air pasang pantai berkenaan berikutan pembinaan projek tembok penahan hakisan ombak yang tidak mengikut spesifikasi sepatutnya. Tinjauan Edisi Johor ke Pusat Rekreasi Pantai Punggur, baru-baru ini mendapati beberapa bahagian tembok yang sudah siap dipasang berada dalam keadaan tidak stabil malah ada blok tembok runtuh terjerlus ke dalam pasir berikutan dihempas ombak kuat. Garisan pantai yang dulunya ratusan meter dari lautan kini semakin menghampiri daratan dan mengancam keselamatan penduduk serta harta benda mereka yang tinggal berhampiran pantai.
Apatah lagi, hanya 350 meter tembok penahan hakisan ombak yang siap sepenuhnya menyebabkan apabila air pasang, kemudahan di kawasan daratan pantai itu termasuk beberapa lot gerai serta tandasnya sering rosak dinaiki air sehingga paras betis.
Walaupun kerja sedang giat dijalankan bagi memasang tembok penahan hakisan ombak yang masih berbaki satu kilometer lagi sepanjang pantai berkenaan, wujud kebimbangan masyarakat setempat sama ada pembinaan tembok itu mampu menghalang air laut memasuki kawasan daratan pada masa hadapan berikutan mutu pembinaan yang diragui.
Penduduk berdekatan, Azmi Hussein, 23, berkata hakisan ombak di pantai berkenaan semakin serius apabila air laut melimpah masuk ke kawasan daratan ketika air pasang sehingga merosakkan kemudahan yang disediakan di pantai berkenaan.
“Walaupun ada tembok ini tetapi tengoklah ada yang sudah runtuh disebabkan hakisan ombak. Saya bimbang tembok ini tidak mampu bertahan lama, cuba bayangkan tembok di pantai ini belum siap sepenuhnya tetapi ada yang sudah runtuh tidak sampai pun beberapa tahun ia dibina.
“Pembinaan tembok ini tidak bermakna kalau air laut tetap boleh naik ke kawasan daratan dan melimpah sampai ke kawasan gerai dan tandas pantai rekreasi ini malah sehingga ke kebun penduduk kampung, " katanya ketika ditemui di pantai itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, Ayub Jamil, berkata masalah tembok penahan hakisan ombak yang kini tidak stabil dan terjerlus ke dalam pasir itu disebabkan pembinaannya yang tidak mengikut kesesuaian pembinaan di pantai.
“Tembok berkenaan seharusnya melalui proses penanaman cerucuk konkrit bagi mengukuhkan kedudukan dan struktur tembok di sepanjang pantai tetapi jika dilihat tembok itu hanya diletakkan saja di atas pantai tanpa ada apa-apa yang menyokong kedudukannya.
“Apabila ia dihempas ombak kuat, sudah tentu tembok yang tidak kukuh itu bergerak lebih-lebih lagi ombak turut menarik pasir ke laut yang hanya mewujudkan keadaan lompang di bawah tembok berkenaan menyebabkan ia terjerlus, tidak stabil dan lama kelamaan akan runtuh," katanya.
Ayub berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) seharusnya segera memikirkan langkah alternatif bagi mengukuhkan tembok berkenaan bagi mengelakkan pembinaannya hanya sia-sia dan tidak menyelesaikan masalah hakisan ombak yang semakin memburuk.
“Saya tidak mahu kehidupan penduduk di kawasan ini terjejas dan terpaksa dipindahkan ke tempat lain berikutan air laut semakin melimpah walaupun kerajaan sudah mengeluarkan kos untuk mengatasi masalah ini," katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Tembokrapuh/Article
0 comments:
Post a Comment