6/18/10

Tiga tahun berdepan risiko



Sinar Harian 18 Jun 2010

DUYONG - Penduduk Kampung Bukit Duyung, di sini mengeluh dengan masalah dihadapi mereka lebih tiga tahun lalu.

Mereka mendakwa, kekurangan penyelenggaraan sempurna di kawasan tersebut menyebabkan mereka bimbang dijangkiti pelbagai penyakit, selain berdepan bahaya pada waktu malam.

Difahamkan, dua penduduk di situ dijangkiti demam denggi dan kini terlantar sakit.

Tinjauan Sinar Harian di kampung terbabit mendapati, lalang di kawasan itu mencapai enam meter dan hampir keseluruhan sistem perparitannya menghadapi masalah tersumbat.

Seorang penduduk, Soknah Kurus, 62, berkata, ancaman Aedes di kampung itu berlanjutan selama tiga tahun, tetapi pihak berkenaan didakwa tidak mengambil sebarang usaha membantu membanterasnya.

Menurutnya, bilangan penduduk dijangkiti wabak itu semakin meningkat, termasuk anaknya sendiri yang kini terlantar di hospital kerana denggi berdarah.

“Sudahlah bimbang dengan ancaman Aedes, penduduk juga risau untuk keluar rumah kerana sering terserempak babi hutan yang tiba-tiba keluar daripada semak.

“Bukan seekor tetapi lebih daripada 10 babi hutan, selain haiwan liar yang mengancam tanaman penduduk,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian di sini, baru-baru ini.

Selain itu, menurutnya, penduduk dibelenggu masalah jalan berlubang kerana kerap menjadi kawasan alternatif lori mengangkut tanah bagi projek pembinaan di tempat lain.

Dia mendakwa, masalah itu kerap diajukan kepada pihak berkenaan, tetapi ia tetap berlaku.

“Sebelum ini permukaan jalan dilihat sempurna, tetapi apabila sejak dilalui lori besar mengangkut tanah di kampung ini, jalan mula rosak.

“Tidak cukup dengan itu, keadaan rumah sering berhabuk dan penduduk terpaksa membersihkan rumah setiap hari hari untuk mengelak diserang penyakit batuk dan asma,” katanya.

Beliau berkata, apabila penduduk menyuarakan masalah mengenai kerosakan jalan, pihak berkenaan meminta penduduk bersabar kerana kerja membaikinya sedang berjalan.

Sementara itu, Md Anuar Hashim, 25, mendakwa, lampu jalan di kampung itu tidak berfungsi dan membahayakan pengguna.

Menurutnya, kemalangan terutama melibatkan penunggang motosikal kerap berlaku kerana keadaan sekitar terlalu gelap.

“Ada kes terbaru apabila ada pelajar sekolah hampir terjatuh ke dalam longkang akibat terbabas setelah mengelak lubang di laluan di sini.

“Saya hairan sebab tiang lampu sudah lama didirikan, tetapi sehingga hari ini, ia masih belum boleh berfungsi. Ada juga tiang tersebut sudah rosak,” katanya.

Menurutnya, masalah itu bukan sahaja membahayakan keselamatan pengguna, tetapi turut menyumbang kegiatan jenayah pecah rumah di kampung tersebut sejak kebelakangan ini.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7830957.asp

0 comments: