Harian Metro 22 Julai 2010
MELAKA : Seorang lelaki warga emas mendakwa hidup dalam kesempitan apabila hanya bergantung kepada pendapatan diperoleh hasil membaiki basikal di rumahnya di Taman Bukit Rambai, dekat sini.
Abdul Kadir Yahya, 76, yang tinggal bersendirian terpaksa menyara hidup dengan pendapatan hasil membaiki basikal pelanggan terdiri daripada kanak-kanak dan penduduk berhampiran.
Menurutnya, sejak kematian isteri kira-kira 20 tahun lalu, dia hidup bersendirian memandangkan dua anak perempuan tirinya sudah merantau ke negeri lain mengikut suami masing-masing.
“Hampir setiap hari saya menunggu jika ada pelanggan datang ke rumah untuk membaiki basikal dan mampu memperoleh upah antara 50 sen hingga RM7 sehari.
“Keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan menyebabkan saya tidak mampu berjalan dan hanya mampu bekerja di rumah untuk menanggung perbelanjaan harian,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Katanya, dengan upah membaiki basikal, dia hanya mampu memperoleh kira-kira RM400 sebulan yang sudah tentu tidak mencukupi.
“Dengan wang itu, saya perlu membeli makanan, surat khabar, ubat-ubatan selain modal bagi membeli barang keperluan membaiki basikal.
“Pernah wang perbelanjaan membeli barang keperluan membaiki basikal lebih banyak berbanding pendapatan diperoleh setiap bulan,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, dia tidak pernah mengharapkan bantuan kedua-dua anak tirinya memandangkan mereka masing-masing sudah berkeluarga dan tinggal jauh di perantauan.
“Anak-anak hanya dapat membantu membayar bil elektrik dan air, namun selebihnya terpaksa mencari sendiri bagi menampung perbelanjaan meneruskan kehidupan.
“Saya pernah cuba mendapatkan bantuan bulanan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, namun hingga kini tiada maklum balas,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Baikibasikalsarahidup/Article
0 comments:
Post a Comment