Berita Harian 26 Julai 2010
Rayu segera bina batu pemecah ombak atasi angin kencang rosakkan perahu, peralatan
SERKAM: Nelayan di Kuala Pantai Siring Kampung Pulai, di sini, kini trauma selepas kejadian angin kencang melanda kawasan itu baru-baru ini yang menyebabkan banyak peralatan, termasuk perahu milik mereka rosak teruk.
Bagi mengelak masalah itu tidak berulang dan menyebabkan mereka kerugian besar, golongan terbabit merayu pihak berkuasa terbabit membantu segera mencari jalan penyelesaian.
Ketua Unit Pembangunan Nelayan Kuala Pantai Siring, Kampung Pulai, Md Piah Hashim berkata, nelayan di situ sudah tidak sanggup lagi berdepan situasi genting setiap kali angin kencang kerana ombak besar sudah pasti akan memukul serta merosakkan perahu, enjin dan jaring yang ditempatkan di kuala berkenaan.
Katanya, keadaan bertambah rumit apabila bencana itu melanda pada waktu malam seperti berlaku pada minggu lalu hingga menyebabkan enam nelayan kerugian melebihi RM10,000 akibat kerosakan perahu, enjin sangkut dan jaring yang tenggelam.
Nelayan di sini trauma apabila angin kencang melanda kawasan ini kerana mereka terpaksa bersedia untuk menyelamatkan barangan masing-masing yang dikhuatiri akan rosak dipukul ombak.
Tiada makna kawasan jeti nelayan ini cantik dan indah, tetapi keselamatan kami serta peralatan menangkap ikan sentiasa terdedah kepada bahaya, katanya ketika ditemui Berita Harian hujung minggu lalu.
Md Piah berkata, hanya satu tindakan yang mampu mengatasi masalah dihadapi nelayan terbabit iaitu mempercepatkan pembinaan batu pemecah ombak di kawasan pemula muara di kuala berkenaan.
Katanya, pembinaan projek yang turut dikenali sebagai batu sangkar itu akan dimulakan akhir tahun depan dan ia sudah pasti akan menimbulkan lebih banyak masalah terhadap nelayan.
Bagi menunggu tempoh setahun, saya rasa semua perahu dan enjin nelayan di sini akan rosak akibat dipukul ombak kerana tahun ini saja sebanyak tiga kali kejadian serupa berlaku. Ini sangat merunsingkan kami yang mencari rezeki untuk menyara keluarga, katanya.
Pada kejadian tengah malam 17 Julai lalu, kira-kira enam perahu milik nelayan mengalami kerosakan, termasuk empat daripadanya tenggelam mengakibatkan kerugian dianggarkan bernilai lebih RM10,000.
Dalam kejadian ribut hampir empat jam di Kuala Pantai Siring Kampung Pulai pada kira-kira jam 12 tengah malam itu, kuala yang berharga RM3.5 juta itu dilanda angin Barat, disusuli air pasang yang menyebabkan berlaku ombak kuat setinggi dua meter.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_Keluhannelayan/Article
0 comments:
Post a Comment