7/26/10

Pengusaha kraf tangan rugi RM20,000 akibat banjir lumpur


Shamsiah Md. Jusin menunjukkan kerja-kerja pengorekan tanah yang menyebabkan rumah dan bengkel kraf tangannya rosak akibat banjir lumpur di Kampung Aman, Larkin, Johor Bahru, kelmarin.
-----------------------------------------------

Utusan Malaysia 26 Julai 2010

JOHOR BAHRU 25 Julai - Seorang pengusaha kraf tangan, Shamsiah Md. Jusin kerugian sebanyak RM20,000 setelah bengkel kraf tangan dan rumahnya di Jalan Dana Kampung Aman, Larkin di sini dimasuki tanah dan banjir lumpur selepas hujan lebat Selasa lalu.

Shamsiah, 50, mendakwa, kejadian itu berpunca daripada projek perumahan mewah yang sedang giat dijalankan berhampiran rumahnya sejak tahun lalu.

"Apa yang dikesalkan, kerja-kerja meratakan tanah di projek perumahan itu telah menimbus laluan air yang mengakibatkan tanah yang dibawa air terus memasuki bengkel dan rumah kami apabila hujan lebat.

"Dalam kejadian Selasa lalu, semua bahan dan cenderahati yang telah siap, perabot dan barangan elektrik habis dipenuhi lumpur," katanya.

Ibu kepada empat anak yang telah menetap di kawasan itu sejak 30 tahun lalu berkata, kemusnahan tersebut telah menyukarkan hidupnya kerana dia kini tiada lagi modal untuk membeli bahan-bahan kraf tangan dan membayar balik pinjaman kereta dan pinjaman perusahaan kraftangan.

Katanya, dia tidak dapat lagi meneruskan kerjayanya ekoran pelbagai masalah timbul akibat tragedi yang memusnahkan bengkel tersebut.

"Saya merupakan pengusaha kraf tangan sejak 20 tahun lalu yang mendapat kerjasama dan diiktiraf Kraftangan Malaysia, Jabatan Pelancongan dan agensi-agensi berkaitan.

"Banyak tempahan yang sudah siap dibuat, tapi bila kena banjir lumpur, saya terpaksa membuat semula tempahan tersebut walhal ia sepatutnya dihantar pada hujung bulan ini," katanya.

Shamsiah berkata, pihaknya telah mengutarakan masalah itu kepada pihak terbabit namun tiada sebarang maklum balas.

Menurutnya, dia sedia berpindah ke kawasan lain bagi memberi laluan kepada pembangunan namun pihak berkaitan perlu menyediakannya rumah baru.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_04.htm

0 comments: