
Sinar Harian 16 Julai 2010
SUNGAI JERNEH , Tampin – Pengusaha kolam, M Rosli Adam, 56, dari Kampung Sungai Jerneh terpaksa berputih mata sejak beberapa bulan lalu apabila ternakan ikannya mati secara berperingkat-peringkat susulan pencemaran kerja Tanaman Semula Kelompok (TSK) berdekatan kolamnya.
Rosli berkata, dia pada mulanya cuba berbincang dengan pihak bertanggungjawab sehingga membangkitkannya beberapa kali dalam mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pada sesi mendengar.
Bagaimanapun menurutnya, sehingga ke hari ini tiada sebarang tindakan bagi mengatasi masalah itu dan hanya Pengerusi JKKK sahaja yang turun padang melihat sendiri kerugiannya.
“Saya sudah berusaha berbincang. Malah, sejak bermulanya kerja-kerja pembersihan kawasan berdekatan bagi projek TSK Jun tahun lalu, saya sudah membawa usul kepada pihak bertanggungjawab untuk melaksanakan perjanjian awal iaitu membina satu saliran (parit) bagi memastikan ia tidak terus mengalir masuk ke kolam saya.
“Namun, sehingga ke hari ini, tiada saliran dibuat dan hasilnya hampir setiap hari terutama apabila hujan terlalu lebat, kolam saya seolah-olah dicemari minyak,” katanya.
Rosli berkata, dia amat berharap tindakan segera bagi mengatasi masalah itu dapat diambil supaya memastikan dia dapat meneruskan aktiviti dan kegiatan menternak pelbagai jenis ikan untuk tujuan komersil.
Dia juga ingin menuntut ganti rugi kerana pencemaran itu menyebabkan dia mengalami kerugian hampir RM20,000.
“Oleh itu, saya harap sangat pihak bertanggungjawab dapat melihat sendiri kesan pencemaran ini dan mengambil tindakan sesuai bagi memastikan ia tidak berpanjangan," katanya.
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7958912.asp
0 comments:
Post a Comment