7/23/10

Pusat kesihatan tak nampak bayang


Sinar Harian 23 Julai 2010

NYALAS - Penantian penduduk sekitar Pekan Nyalas selama empat tahun masih belum berakhir bagi pembinaan Pusat Kesihatan Komuniti seperti di dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9).

Penduduk, Hashim Saring, 44, berkata, pada 2006, penduduk menerima khabar gembira apabila dimaklumkan akan menerima pusat kesihatan baru bagi menggantikan Klinik Desa Nyalas sedia ada.

Menurutnya, tapak pusat kesihatan seluas 1.2 hektar juga sudah dikenal pasti iaitu bersebelahan kawasan Rumah Awam Sri Jaya.

"Pada mulanya, pihak berkenaan mahu menaik taraf klinik desa sedia ada tetapi penduduk menolaknya kerana mahu kemudahan lebih sempurna.

"Justeru, peruntukan bagi menaik taraf klinik desa telah ditarik dan disalurkan terus untuk pembinaan pusat kesihatan ini namun sehingga kini, kami masih menunggu kerja pembinaan dilakukan," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dengan kadar populasi penduduk termasuk kawasan penempatan di Felda Bukit Senggeh berjumlah 12,000 penduduk, sepatutnya peruntukan dapat disalurkan bagi tujuan berkenaan.

"Kawasan ini wajar mendapat klinik kesihatan baru seperti di kawasan lain kerana terdapat beberapa lokasinya sangat berhampiran dengan Hospital Jasin (HJ).

"Seperti di Kemendor, lokasinya sangat hampir dengan HJ, sementara Poliklinik Selandar pula berdekatan dengan Pusat Kesihatan Machap, jadi kenapa masih belum ada pusat kesihatan di sini," katanya.

Sementara itu, Husin Md Dom, 52, pula berkata, penduduk terpaksa pergi ke Poliklinik Selandar atau Klinik Kesihatan Simpang Bekoh yang terletak 12 kilometer daripada penempatan bagi mendapatkan rawatan.

"Bagaimana penduduk, terutama warga emas mahu mendapatkan rawatan klinik kerajaan jika mereka tidak mempunyai kenderaan dan terpaksa menggunakan perkhidmatan bas yang jarang ada di sini.

"Kami kekurangan kemudahan asas sedangkan jumlah populasi penduduk semakin bertambah, selain banyak kawasan taman perumahan yang tumbuh bak cendawan," katanya.

Menurutnya, penduduk pernah mengadakan sesi dialog bersama Pengarah Kesihatan Negeri mengenai masalah itu tetapi tiada tindakan diambil sehingga kini.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7983671.asp

0 comments: