7/22/10

Rakyat Sabah Taruh nyawa

Berita Harian 22 Julai 2010

Penduduk Tundun Bohangin redah sungai ke Sandakan

KINABATANGAN: Setiap kali hendak mendapatkan rawatan kesihatan atau pelbagai urusan lain, kira-kira 1,500 penduduk Kampung Tundun Bohangin dekat sini, terpaksa bergadai nyawa merentasi sungai berarus deras dan laut bergelora selama empat hingga lapan jam untuk ke bandar Sandakan. Situasi itu disebabkan ketiadaan perhubungan jalan raya sejak kampung itu wujud pada 1940, menyebabkan mereka menggunakan jalan laut untuk ke bandar. Lebih membahayakan ialah apabila berlaku kes kecemasan seperti penghantaran pesakit ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.
Difahamkan, lebih 10 kes wanita bersalin mengalami kekurangan darah selepas terpaksa menempuh perjalanan jauh ke hospital.

Pada masa sama, seorang penduduk yang menghidap taun diberitakan meninggal dunia dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan pada Februari lalu.

Ketua Kampung Tundun Bohangin, Pulok Asmad, 65, berkata penduduk tiada pilihan kecuali menggunakan laluan sungai dan laut untuk ke bandar Sandakan.
Katanya, perkhidmatan doktor udara yang disediakan di kampung itu hanya sekali dalam sebulan, menyebabkan mereka tetap perlu ke bandar untuk mendapat rawatan kecemasan.

“Kami bergantung sepenuhnya kepada jalan laut yang mengambil masa empat jam jika menggunakan bot sendiri dan lapan jam jika menumpang kapal nelayan.

“Lebih membebankan, kami perlu mengeluarkan kos tinggi untuk ke bandar Sandakan iaitu RM200. Keadaan ini pasti menyukarkan penduduk yang sebahagian besarnya nelayan kecil dan miskin," katanya kepada Berita Harian.

Kampung Tundun Bohangin berada dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau mempunyai 74 rumah termasuk 21 rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), balai raya, masjid dan sebuah sekolah rendah.

Pada Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan RM87.8 juta bagi melaksanakan projek infrastruktur di Parlimen Kinabatangan yang dilaksanakan tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM30.3 juta adalah bagi membina jalan raya sepanjang 12 kilometer yang menghubungkan kampung berkenaan dengan pekan Kinabatangan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Asman Agoi, 46, merayu kerajaan mempercepatkan pembinaan jalan itu kerana belum ada perkembangan sejak diumumkan hingga hari ini.

Katanya, mereka tidak mahu nyawa penduduk terus terancam setiap kali keluar atau pulang ke kampung menggunakan laluan laut.

"Dua lagi kampung berhampiran iaitu Kampung Kulamba dan Sri Ganda juga tidak mempunyai jalan raya. Kami harap suara kami didengari dan keadaan akan berubah menjadi lebih baik selepas ini," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sabah_Sarawak_Taruhnyawa/Article

0 comments: