7/22/10

Rumah kerap dinaiki air di Melaka


Utusan Malaysia 22 Julai 2010

MELAKA 21 Julai – Penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Umbai dekat sini kian resah apabila rumah mereka kerap dinaiki air apabila setiap kali berlakunya hujan lebat.

Awal pagi semalam, rumah mereka sekali lagi dinaiki air setinggi antara 0.2 hingga 0.5 meter ekoran hujan lebat yang berlaku.

Keadaan itu sekali gus menimbulkan keresahan penduduk terbabit kerana tidak sampai sebulan, tiga kejadian banjir kilat melanda di kawasan tersebut.

Penduduk mendakwa kejadian berkenaan berpunca akibat kegagalan petugas pintu air di Pengkalan Pernu, Umbai membuka pintu berkenaan ketika air sungai sudah mulai melimpah.

Seorang penduduk, Mohammad Hitam, 43, berkata, kebiasaannya kejadian itu berpunca daripada fenomena air laut pasang tetapi kejadian yang berlaku semalam jelas berpunca daripada kecuaian manusia.

Menurutnya, dia kesal dengan kejadian itu yang telah menyebabkan sebilangan besar peralatan rumahnya termasuk perabot dan beberapa barangan elektrik rosak akibat ditenggelami air.

Katanya, kejadian ini mula disedarinya kira-kira pukul 6 pagi apabila sebahagian besar rumahnya dimasuki air.

‘‘Pada mulanya, saya ingat air laut pasang tetapi setelah keluar rumah melihat keadaan laut, ia surut dan tidak ada kena-mengena dengan air laut pasang.

‘‘Setelah disiasat dengan beberapa penduduk lain, kita mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan tindakan petugas yang tidak dapat mengawal pintu masuk air,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya yang hanya 100 meter dari Jeti Pengkalan Pernu, Umbai.

Mohammad berkata, penduduk kampung kecewa dengan pihak berkenaan yang sepatutnya peka akan kejadian-kejadian seperti ini dan bukannya menambahkan lagi kepayahan hidup penduduk kampung di sini.

Keadaan yang sama juga dilalui, seorang warga emas, Hatijah Abdul Manaf, 54, yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan petugas yang menyelenggarakan pintu air di kawasan terbabit sehingga menyebabkan rumahnya dinaiki air.

‘‘Kalau keadaan ini sering berlaku, kehidupan kami di sini akan susah setiap kali hujan lebat kerana terpaksa meredah air sungai yang melimpah ke dalam rumah,” katanya.

Masalah yang sama dihadapi oleh orang kurang upaya (OKU), Rahmah Abdul Manaf, 52, yang terpaksa mengalihkan sebahagian peralatan rumahnya secara sendiri kerana bimbang ia mengalami kerosakan.

‘‘Lihatlah dengan keadaan saya sebegini, ia bagaikan satu bebanan untuk melakukannya secara sendirian. Habis keseluruhan rumah saya termasuk bilik tidur dinaiki air,” katanya.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_01.htm

0 comments: