Berita Harian 8 Julai 2010
PULAU SEBATIK (Tawau): "Kami tak berani mengeluarkan duit untuk membaiki rumah. Semakin lama, semakin banyak kerosakan. Bumbung dan dinding rumah semakin banyak reput. Hanya menunggu waktu untuk menyembah bumi.
"Bagaimanapun, kami tak ada tempat lain untuk dituju. Manalah kami ada banyak duit untuk membina rumah baru. Tapak tanah pun tak ada. Mahu tak mahu, kami terpaksa terus tinggal di sini.
Entah esok atau lusa, kami akan dihalau keluar dari kawasan ini." Itulah yang diluahkan Patimah Osman, 55, mengenai nasib beliau dan kira-kira 300 penghuni rumah kongsi bekas pekerja Syarikat North Borneo Timber (NBT) di Kampung Wallace Bay di sini yang hidup dalam keadaan tidak menentu mengenai masa depan mereka berikutan ketidakpastian status tanah tapak rumah masing-masing.
Kampung Wallace Bay yang pernah berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan pemprosesan kayu balak dari Kalabakan dan Tawau pada 1970-an dan awal 1980-an sekarang seolah-olah kampung yang sudah ditinggalkan selepas pemilik asal tanah, NBT menghentikan operasi mengilang dan mengeksport kayu balak pada 1983.
Kampung yang pernah diberi jolokan `lombong emas' berikutan kerja memproses kayu balak menjadi kayu bergergaji dan papan sekitar 1970-an dan awal 1980-an itu kini tidak ubah seperti kampung yang ditinggalkan penghuninya.
Tinjauan Berita Harian di kampung itu baru-baru ini mendapati, Patimah dan penghuni lain tidak berani mengeluarkan perbelanjaan untuk menjalankan kerja pembaikan rumah.
Ketidakpastian mengenai status tanah menyebabkan mereka hanya mampu membiarkan rumah masing-masing semakin reput ditelan waktu.
Menjelaskannya, Patimah berkata, beliau yang dilahirkan di kampung itu pada 1955, berkahwin dengan suaminya, Allahyarham Majid Ahmad.
"Bagaimanapun, arwah suami saya lumpuh akibat ditimpa kayu. NBT menamatkan kerja pada 1983. Suami saya meninggal pada 2002. Sejak itu, rumah kongsi NBT ini tidak pernah dibaiki.
"Kami bimbang jika kami membaikinya, tiba-tiba ada orang datang dan beritahu tanah ini sudah dibelinya daripada NBT. Kami tidak tahu siapa pemilik sebenar tanah ini sekarang," katanya.
Beliau berkata, berikutan pemberhentian operasi NBT, semakin ramai penduduk kampung itu berhijrah ke tanah besar di Tawau untuk mencari rezeki.
"Yang masih tinggal di sini, kebanyakannya menjadi nelayan dan mengambil upah mengerjakan kebun kelapa sawit penduduk kampung lain," katanya.
Patimah yang menumpang berteduh daripada hujan dan panas di rumah kongsi itu bersama tiga anak perempuannya dan tiga cucunya, hidup dengan bergantung kepada wang yang dikirimkan suami ketiga-tiga anak perempuannya yang mencari rezeki di Sandakan.
Sehubungan itu, katanya, beliau merayu kerajaan memberi perhatian kepada hal pemilikan tanah berkenaan bagi membolehkan penduduk kampung mengambil tindakan lanjut.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Muis Picho, berkata beliau sudah meminta kerajaan negeri meneliti perkara itu demi kesejahteraan masyarakat.
"JPPS pernah bercadang membina 300 rumah untuk mereka di kawasan baru di kawasan paya bakau Tanah Merah. Bagaimanapun, apabila JPPS dimansuhkan dan digantikan dengan SDO tahun lalu, cadangan itu senyap begitu saja," katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sabah_Sarawak_Hampirroboh/Article
0 comments:
Post a Comment