7/22/10

Tong sampah tak cukup di Melaka

Berita Harian 22 Julai 2010

MELAKA: Busuk dan menjijikkan. Itulah situasi yang saban hari perlu dilalui oleh setiap penduduk Pangsapuri Peringgit Indah, Peringgit, dekat sini, apabila terpaksa berhadapan dengan masalah tempat pembuangan sampah tidak sempurna.

Melangkah saja keluar dari pangsapuri berkenaan, bau busuk berpunca dari sampah berselerak pasti menusuk hidung sesiapa saja kerana tempat pembuangan di situ tidak disediakan dengan tong yang mencukupi.

Penduduk di situ mendakwa mereka tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa membuang bungkusan sampah harian di tepi jalan berdekatan ruang khas yang hanya dibiar kosong tanpa tong. Berita Harian yang berkunjung ke pangsapuri berkenaan selepas menerima aduan mendapati hanya satu tong sampah besar disediakan di situ dan ia tidak dapat menampung jumlah buangan oleh kira-kira 1,000 penduduk di situ.

Longgokan sampah yang dibuang penduduk itu mengundang pelbagai jenis haiwan seperti anjing dan kucing liar selain tikus untuk mencari sisa makanan.

Keadaan bertambah buruk apabila terdapat sisa makanan yang diselongkar haiwan berkenaan bertaburan hingga ke jalan berhampiran dan mengeluarkan bau yang amat busuk.

Masalah ini dikatakan bukan baru berlaku sehari dua tetapi sudah berlarutan sejak setahun tanpa ada sebarang penyelesaian.
Seorang penghuni di situ, Mohd Afiq Zakaria, 21, berkata dia sendiri tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa membuang sampah di tepi jalan berhampiran kerana tong sampah yang ada, penuh.

Beliau mendakwa sebelum ini memang ada dua tong sampah besar disediakan, tetapi ia tidak digantikan dengan yang baru apabila satu daripadanya rosak.

“Memang benar sehingga sekarang satu tong sampah besar berkenaan tidak lagi mampu menampung buangan penduduk di sini sehingga menyebabkan ia menjadi tarikan kepada pelbagai haiwan liar.

“Kedatangan haiwan yang menyelongkar sampah saban hari membuatkan jalan berhampiran menjadi kotor dan lebih membimbangkan saya ia boleh mengundang sebarang penyakit berjangkit yang dibawa haiwan perosak ini.

“Seperti juga penghuni lain, saya berharap masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Hashim Jaafar, 49, berkata, walaupun kerja mengutip sampah oleh pihak berkuasa terbabit tepat pada hari tertentu dan tidak pernah lewat, mereka juga perlu memikirkan keadaan kebersihan di kawasan berkenaan.

“Sampai bila penduduk terpaksa membuang sampah di tepi jalan. Keadaan ini bertambah buruk apabila ada kereta atau motosikal yang terlanggar sampah.

“Saya berharap pihak yang bertanggungjawab dapat menempatkan lebih banyak tong sampah besar bagi kemudahan penduduk di sini membuang sampah dan mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Gan San San, 32, berkata dia bimbang dengan kehadiran anjing liar yang datang berkeliaran berhampiran kawasan sampah berkenaan selain kawasan itu dikatakan seperti tempat pembuangan kucing.

“Bilangan kucing terbiar di sini juga semakin hari semakin bertambah bilangannya dan selalu menyelongkar longgokan sampah untuk mencari sisa makanan.

“Keadaan ini sememangnya mengotorkan kawasan jalan berhampiran selain haiwan berkenaan membuang najis di merata tempat di kawasan ini. Kita harap ada tindakan segera bagi mengatasinya,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_Tongtakcukup/Article

0 comments: