Berita Harian 29 Julai 2010
Projek EDL didakwa punca tiga kampung 8 kali banjir
JOHOR BAHRU: Projek Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) berdekatan Kampung Setanggi, Tok Siak dan Hajah Hasnah, bukan saja menjejaskan kehidupan harian penduduk, malah menyebabkan mereka rugi apabila sudah lapan kali dilanda banjir sejak projek itu bermula setahun lalu.
Terbaru, pada 20 Julai lalu, rumah mereka dinaiki air hingga paras pinggang menyebabkan semua kelengkapan rumah dan peralatan sekolah anak rosak mengakibatkan kerugian ribuan ringgit. Mereka mendakwa, sikap tidak bertanggungjawab pemaju menimbus sebatang anak sungai di Kampung Tok Siak, menyebabkan aliran air di kawasan tiga perkampungan berkenaan kini bertumpu di sebatang anak sungai di Kampung Hajah Hasnah. Penduduk mendakwa mereka kini trauma dan fobia setiap kali hujan kerana khuatir kawasan itu akan dinaiki air, selain sudah tidak mampu membaiki rumah dan membeli peralatan rumah yang baru.
Penduduk Kampung Tok Siak, Khalilah Daud, 44, berkata, beliau terpaksa menanggung kerugian besar dan menuntut pemaju tampil membayar pampasan.
Akibat daripada banjir yang berlaku Selasa lalu, empat kereta baru milik ahli keluarga ditenggelami air sehingga terpaksa dihantar ke bengkel, manakala perkakasan rumah seperti peralatan elektrik kini sudah tidak boleh digunakan.
Kami tidak dapat mengalihkan kenderaan ke tempat tinggi kerana jalan utama sudah ditenggelami air, selain kami sibuk memindahkan harta benda. Semua berlaku dengan pantas, katanya ketika ditemui di kediamannya.
Saodah Jasman, 51, berkata, beliau kesal terhadap sikap pemaju yang enggan bersemuka dengan penduduk seperti yang dijanjikan pada 21 Julai lalu pada jam 2 petang.
Saya diberitahu pihak pemaju hadir untuk bertemu penduduk pada tarikh yang ditetapkan, tetapi pulang dengan alasan kami tiada di lokasi seperti dijanjikan. Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak pemaju ternyata mengelirukan kerana kami datang tepat pada jam pertemuan ditetapkan, tetapi mereka berdolak dalik mengatakan sudah datang pada jam 12 tengah hari, katanya.
Mariam Yahya, 70, berkata, beliau yang uzur nyaris dihempap almari pakaian ketika air mulai naik dalam rumahnya.
Apabila mengenang kembali banjir kilat yang berlaku tempoh hari, saya nyaris maut kerana almari pakaian jatuh, tetapi sempat mengelak. Saya sedih kerana sejak berpuluh tahun tinggal di kampung ini, tidak pernah berlaku banjir kilat, namun persekitaran selamat penduduk mulai berubah selepas projek pembangunan berdekatan bermula, katanya.
Penduduk Kampung Setanggi, Mohd Yusof Juraimi, 25, berkata, kerajaan negeri perlu membantu menyelesaikan masalah penduduk itu yang berpunca daripada sikap pemaju yang tidak bertanggung jawab.
Kami tidak mendapat sebarang wang pampasan atau ganti rugi daripada kejadian banjir yang berlaku awal tahun ini, malah terpaksa berdepan kesulitan, " katanya.
Suhairi Noh Daud, 25, turut mendakwa sikap tidak bertanggungjawab pemaju menutup Sungai Tok Siak menjadi punca takungan air Sungai kampung Hajah Hasnah bertambah selain hujan turun tanpa henti selama beberapa jam.
Jika dulu, Sungai Tok Siak akan mengalir terus ke arah laut, keadaan itu sudah tidak berlaku kerana sudah ditutup oleh pemaju seterusnya menyebabkan satu aliran saja wujud iaitu Sungai Hajah Hasnah. Tambahan pula, kelebaran sungai itu dikecilkan daripada 12 meter kepada 4.5 meter oleh pemaju, katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Traumabanjir/Article
0 comments:
Post a Comment