Utusan Malaysia 6 Ogos 2010
ALOR GAJAH 5 Ogos - Apa perasaan anda jika terpaksa menghidu bau busuk daripada longkang yang tersumbat hampir setiap hari sejak empat tahun lalu?
Begitulah yang dialami oleh kira-kira 288 pelajar asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) JAIM Al-Ehya Al Karim di Tanjung Bidara dekat sini.
Saban hari, pelajar terbabit terpaksa menghidu bau busuk khususnya apabila tiba waktu makan. Ada yang loya dan muntah serta tidak kurang pula enggan memasuki dewan makan di asrama tersebut.
Longkang yang tidak diselenggara dengan sempurna terletak berhampiran dewan makan dan bilik asrama sekolah tersebut.
Pernah terjadi seorang pelajar yang tidak tahan dengan bau busuk longkang mendapat pening kepala dan muntah hingga menyebabkan dia jatuh sakit.
Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, tiada saluran longkang yang sempurna hingga menyebabkan kumbahan sisa yang dibuang oleh penduduk Kampung Gebo Pasir mengalir keluar seterusnya menyebabkan sampah sarap serta air bertakung.
Keadaan tersebut mengakibatkan bau busuk dan juga air longkang yang bertakung menyebabkan pembiakan nyamuk yang sering menjadi ancaman kepada penghuni asrama ini.
Pengetua SMA JAIM Al-Ehya Al-Karim, Johari Samad berkata, pihaknya sudahpun menghantar surat aduan kepada pihak yang bertanggungjawab tetapi tidak ada sebarang tindakan dilakukan.
''Saya dimaklumkan oleh juruteknik dari Pejabat Daerah Tanjung Bidara dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa kerja-kerja membaik pulih tidak dapat dilakukan kerana tidak ada peruntukan.
''Jika ini masalahnya, saya tidak tahu sampai bila longkang yang tersumbat akibat sistem saliran yang tidak sempurna ini akan dapat dibaik pulih," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_04.htm
0 comments:
Post a Comment