8/3/10

Bimbang runtuhan di Melaka

Berita Harian 3 Ogos 2010

Runtuhan dikhuatiri jejas kawasan perniagaan

AYER KEROH: Tebing sebuah longkang yang runtuh berdekatan deretan lot komersial dan kedai Ikan Bakar Malim di Taman Tasek Utama yang dibiar tanpa pembaikan sejak tiga bulan lalu, kini merisaukan golongan peniaga di situ. Tinjauan Berita Harian di kawasan berkenaan selepas menerima aduan orang ramai mendapati, runtuhan tebing longkang itu semakin melebar terutama tebingnya, dipercayai dihakis air susulan hujan lebat sepanjang seminggu lalu. Gelongsoran tanah di kiri kanan longkang itu kini didapati memasuki saliran berkenaan, sekali gus menyekat alirannya daripada memasuki longkang utama hingga memerangkap sejumlah sampah sarap di situ.

Selain itu, terdapat juga berapa runtuhan kecil dikesan di sebatang jalan mati berdekatan dengan kesan retak di permukaan bersambung ke jalan utama dapat dilihat jelas. Runtuhan tebing itu juga didapati merebak ke jalan berdekatan menyebabkan penduduk hidup dalam kebimbangan.

Seorang peniaga, Mokhtar Zamry, 49, mendakwa runtuhan berkenaan jika dibiarkan terlalu lama, berkemungkinan boleh menjejaskan keseluruhan kawasan perniagaan terbabit.

Beliau mengesyaki tanah di kawasan itu tidak padat ketika kerajaan negeri membenarkan sebuah syarikat swasta membangunkan kawasan perniagaan dan lot kediaman di Taman Tasek Utama, kira-kira 10 tahun lalu.
"Saya hairan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini yang lambat membuat tindakan membaiki runtuhan itu sehingga keadaannya semakin buruk pada masa ini.

"Sudah banyak aduan dilakukan, tetapi semakin hari runtuhan itu semakin besar, manakala kelibat pegawai yang bertanggungjawab untuk meneliti kerosakan itu belum kelihatan meninjau ke kawasan ini,'' katanya.

Seorang peniaga, Ramlan Yusop, 29, pula berkata, runtuhan struktur longkang berkenaan sudah lama berlaku sehingga melebihi lima meter dengan semua sisa runtuhan memasuki longkang utama menyebabkan alirannya tersekat bersama longgokan sampah sarap.

Katanya, akibat terlalu lama terbiar begitu, bau busuk daripada sampah selain bangkai haiwan yang terperangkap mula menimbulkan masalah kepada orang ramai yang berulang alik ke kawasan itu.

"Kita minta PBT dapat menangani masalah ini dengan segera sebelum ia bertambah teruk sehingga menyusahkan banyak pihak termasuk kami yang berniaga di kawasan ini,” katanya.

Rakannya, Othman Bidin, 23, berkata, kawasan runtuhan itu juga sering dikunjungi kanak-kanak terutama pada setiap hujung minggu yang mungkin tertarik untuk menyauk ikan kecil di longkang berkenaan.

"Longkang berkenaan besar dan dalam. Saya bimbang tebing konkrit yang tidak kukuh itu akan menimpa kanak-kanak berkenaan seperti pernah berlaku di kawasan sama tidak lama dulu.

“Jadi, kami berharap tindakan segera dilakukan bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_Bimbangruntuhan/Article

0 comments: