8/31/10

Dakwaan fasiliti nuklear di PD tidak benar - MB

SEREMBAN 30 Ogos - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menyangkal khabar angin kononnya beliau mahu fasiliti nuklear yang pertama di negara ini dibina di bandar peranginan, Port Dickson.

Beliau yang terkejut sebaik sahaja diminta memberikan respons berhubung dakwaan tersebut berkata, bandar peranginan itu tidak sesuai untuk dibina apa juga projek berkaitan nuklear.

''Berita ini sesuatu yang baru dan mengejutkan. Kenapa pula saya mahu melobi supaya fasiliti nuklear ini dibina di Port Dickson.

''Kita bersusah payah mahu menjadikan Port Dickson sebagai destinasi pelancongan terbaik di negara ini, tiada sebab mengapa saya mahu melobi untuk mendapatkan fasiliti nuklear di situ," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Negeri di sini petang ini.

Beberapa laman web sebelum ini membuat pelbagai spekulasi kononnya fasiliti nuklear pertama, selain lojinya amat sesuai dibina di Port Dickson.

Malah salah satu laman web tersebut mendakwa Mohamad sedang melobi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar fasiliti berkenaan dapat dibina di bandar peranginan berkenaan.

''Kita harus bertanya diri sendiri adakah Port Dickson mempunyai kemudahan merawat sisa nuklear. Ia adalah amat tidak bertanggungjawab menyatakan saya melobi untuk dibina fasiliti berkenaan di Port Dickson. Itu tidak benar sama sekali.

''Saya sendiri pun tidak tahu mengenai perkara ini. Port Dickson adalah kawasan pelancongan dan saya tidak nampak di manakah kawasan yang paling sesuai untuk dibina fasiliti nuklear ini," tegasnya.

Mohamad sebelum ini berkata, kerajaan negeri akan terus meningkatkan usaha mempromosi pelancongan di Port Dickson, malahan dalam draf pembangunannya juga dinyatakan bahawa dari kawasan Batu 1 hingga Batu 18, ia akan digunakan bagi tujuan pembangunan pelancongan.

Dari Batu 18 pula ia akan diperuntukkan bagi penempatan penduduk manakala kawasan perindustrian pula dikhaskan di sekitar Lukut, Chuah iaitu dekat Port Dickson dan sempadan Sepang di Selangor.

Beliau juga sebelum ini menegaskan, kerajaan negeri tidak akan menjadikan kawasan hutan simpan di Port Dickson untuk apa juga pembangunan sebagai langkah untuk tidak mencemarkan keindahan alam sekitar termasuk kawasan hutan bakau berhampiran.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_15.htm

0 comments: