Peniaga Diragut Wang Tunai RM18,000 Di Lampu Isyarat Di Melaka
MELAKA, 6 Ogos (Bernama) -- Seorang peniaga lelaki kehilangan RM18,000 setelah dua penunggang motosikal memecahkan cermin keretanya sewaktu berhenti di sebuah lampu isyarat di Jalan Tun Razak di sini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Mohd Adnan Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 3.20 petang semalam, dua lelaki itu memecahkan cermin sisi kereta menggunakan topi keledar dan mengambil beg sandang di dalamnya.
"Peniaga berusia 30-an dari Batu Berendam, dekat sini baru sahaja mengeluarkan wang tunai RM18,000 dari sebuah bank berdekatan malahan turut kehilangan dokumen peribadi termasuk kad pengenalan dan lesen memandu," katanya kepada pemberita pada hari Jumaat.
Peragut dipercayai menunggang motosikal berwarna merah manakala nombor pendaftaran motosikal tidak dapat dipastikan.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mengeluarkan wang tunai dengan amaun yang banyak supaya berwaspada daripada menjadi mangsa ragut.
-- BERNAMA
http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=519314
Pejabat Tamil Nesan Biro Ipoh Di Pecah Masuk
IPOH, 6 Ogos (Bernama) -- Pejabat Tamil Nesan cawangan Ipoh di Jalan Chua Cheng Bok, di sini dimasuki pencuri malam tadi.
Ketua Bironya S.P Bala, 49, berkata kejadian dipercayai berlaku antara pukul 9 dan 10 malam.
Bala berkata beliau menyedari pejabatnya dipecah masuk apabila mendapati pintu belakang pejabat dipecahkan ketika pulang ke pejabat selepas menghadiri satu majlis pada pukul 11 malam.
"Saya mendapati sebuah komputer riba dan kamera kesemuanya bernilai lebih RM5,000 hilang manakala pencuri turut merosakan almari dan meja pejabat," katanya pada hari Jumaat.
Bala membuat laporan di Balai Polis Pekan Baru.
Jurucakap polis ketika di hubungi mengesahkan kejadian itu.
-- BERNAMA
http://www.bernama.com.my/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=519305
0 comments:
Post a Comment