8/26/10

Jenayah menjadi gila di Seremban

Penjenayah lolos LEKAS

Berita Harian 26 Ogos 2010

PAROI: Pembukaan Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) mempercepatkan perjalanan antara Kajang dan Seremban, tetapi kepada kira-kira 2,500 penduduk Taman Bukit Margosa di sini, hidup mereka tidak lagi tenang sejak lebuh raya itu dibuka kepada pengguna.

Ini berikutan kejadian jenayah, terutama pecah rumah yang kerap berlaku di taman itu sejak kemudahan LEKAS yang dibina melalui taman itu beroperasi awal bulan ini.

Sebahagian taman perumahan itu terletak di sebelah kiri lebuh raya empat lorong itu, manakala sebahagian lagi di sebelah kanan dengan laluan susur disediakan untuk membolehkan pengguna lebuh raya keluar masuk ke taman itu.

Keadaan ini dipercayai memudahkan penjenayah memasuki taman itu dan selepas melakukan pecah rumah atau mencuri, mereka segera melarikan diri dengan memasuki semula lebuh raya. Kejadian sering berlaku antara tengah malam hingga awal pagi dengan sasaran penjenayah ialah rumah di tepi lebuh raya itu.

Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Margosa, Azizul Rahman Md Yusof, 39, berkata peningkatan kejadian jenayah menyebabkan penduduk bimbang, terutama ketika keluar bekerja kerana ada yang bekerja di Lembah Klang pulang lewat hingga awal pagi.

Beliau mendakwa, sejak awal bulan ini, tidak kurang 12 kes jenayah berlaku dengan kes terbaru kira-kira jam 3 pagi Isnin lalu apabila sebuah kenderaan MPV mewah penduduk nyaris dicuri.

“Mangsa yang berniaga di Kuala Lumpur sedang tidur ketika kejadian dan tidak menyedari pintu pagarnya dipecah masuk sekumpulan tiga lelaki.
“Mujur kejadian itu disedari anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) taman ini yang melakukan rondaan mulai tengah malam hingga awal pagi setiap hari,” katanya.

Azizul Rahman berkata, sebelum ini beberapa kejadian pecah rumah berlaku di taman itu membabitkan kerugian wang tunai dan barang kemas bernilai antara RM500 hingga RM4,000.

Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati kegiatan itu dilakukan orang luar, termasuk kemungkinan didalangi warga asing.

Sebelum ini, katanya, penjenayah merosakkan atau meloloskan diri melalui pagar taman, tetapi kini mereka lebih mudah bertindak dengan menggunakan laluan susur masuk LEKAS.

“Jadi, KRT terpaksa memperhebatkan aktiviti SRS setiap hari, termasuk sepanjang Ramadan bagi memastikan penjenayah terbabit tidak terus bermaharajalela.

“Setiap malam, seramai 10 anggota SRS meronda sekitar taman ini bagi memastikan kegiatan jenayah dapat dibanteras,” katanya.

Sementara itu Setiausaha KRT, Jamuri Abdullah, 39, berkata ramai penduduk taman melahirkan kebimbangan terhadap kejadian jenayah yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Katanya, mereka terpaksa lebih berwaspada dengan memastikan ciri keselamatan kediaman masing-masing di tahap terbaik.

“Saya percaya lokasi taman ini yang terletak berhampiran lebuh raya memudahkan penjenayah mengambil kesempatan, tetapi KRT akan terus memainkan peranan demi memastikan keselamatan penduduk terjamin,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berharap polis dapat membantu menangani masalah ini dengan mengadakan lebih kerap rondaan di taman ini sebagai langkah mencegah penjenayah, sekali gus mengambil tindakan segera jika mereka memasuki taman ini,” katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Melaka_NegeriSembilan_PenjenayahlolosLEKAS/Article

0 comments: