8/9/10

Johor: Bina pintu air tangani banjir kilat

Berita Harian 9 Ogos 2010

Cadangan penduduk Kampung Plentong Baru

PLENTONG: Bimbang terhadap ancaman banjir kilat yang sering melanda rumah kediaman penduduk Kampung Plentong Baru dekat sini, lebih 400 penduduk kampung terbabit mencadangkan supaya dibina pintu air di muara Sungai Plentong bagi membolehkan usaha mengawal pergerakan air jika berlaku hujan lebat atau ketika air pasang penuh. Usaha berkenaan dilihat sebagai langkah berkesan bagi mengelak berlakunya banjir yang kemungkinan berulang di perkampungan berkenaan setiap kali hujan lebat yang menyebabkan jumlah air Sungai Plentong meningkat dengan cepat. Langkah berkenaan juga diharapkan dapat mengelak berlakunya bencana banjir sehingga merosakkan puluhan rumah penduduk di kampung berkenaan sehingga menggugat keselamatan mereka setiap kali apabila berlaku banjir kilat.

Ketika ini, tidak kurang 20 rumah penduduk yang terletak di tepi Sungai Plentong sering dilanda banjir kerana jarak rumah yang terlalu hampir dengan tebing sungai dan pembinaan pintu air dilihat sebagai kaedah paling sesuai untuk mengurang ancaman berkenaan.

Beliau berkata, tidak ada sesiapa yang boleh meramalkan kedatangan banjir kilat yang kemungkinan boleh berulang lagi jika musim hujan lebat berterusan dan usaha perlu dilakukan bagi mengelak bencana berkenaan menimpa penduduk kampung.
“Kami berpendapat, pembinaan pintu air di muara Sungai Plentong boleh membantu mengawal aliran air jika berlaku hujan lebat yang kebetulan serentak dengan air pasang. Oleh itu, kami berharap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memikirkan cadangan penduduk.

“Sebelum berlaku suatu kejadian tidak diingini, adalah lebih elok jika kita mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal. Sebelum ini pun, beberapa sungai utama termasuk Sungai Segget juga dipasang pintu air bagi mengawal aliran air sungai," katanya.

Beliau berkata, jika berlaku hujan lebat atau air pasang besar, pintu air akan memudahkan usaha mengawal aliran air Sungai Plentong serta membolehkan penduduk kampung bersiap sedia membuat persiapan jika berlaku bencana banjir.

Sehubungan itu, beliau berharap cadangan berkenaan disampaikan secara rasmi ke JPS daerah bagi mendapatkan pandangan serta khidmat nasihat kakitangan terbabit berhubung hal berkenaan.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Binapintuairtanganibanjirkilat/Article

0 comments: