Berita Harian 9 Ogos 2010
Lompang di tepi laluan konkrit berbahaya kepada pengguna kenderaan
BATU PAHAT: Kira-kira 40 penduduk di Kampung Bukit Banang, Sungai Ayam di sini diselubungi kebimbangan apabila setiap hari terpaksa melalui jambatan yang sudah roboh tebingnya untuk keluar dari kampung berkenaan berikutan arus sungai kuat yang menghakis tebing jambatan berkenaan. Lebih membimbangkan penduduk kira-kira 20 rumah di situ keluasan jambatan berkenaan yang sempit membahayakan penduduk yang menggunakan kenderaan seperti kereta atau van berikutan keretakan jambatan konkrit berkenaan semakin melebar ke tengah jambatan. Tinjauan Edisi Johor ke jambatan berkenaan baru-baru ini mendapati wujud lompang atau lubang di bahagian tepi jambatan konkrit itu yang boleh membahayakan pengguna kenderaan besar berikutan jika tidak berhati-hati tayar kenderaan mereka mungkin boleh terjerlus ke lubang berkenaan.
Penduduk kampung berkenaan, Mohd Hassan Hamzah, berkata keadaan jambatan berkenaan yang berbahaya itu sudah berlarutan sejak beberapa bulan yang lalu dan tambah memburukkan keadaan adalah apabila banjir yang melanda kawasan berkenaan baru-baru ini membuatkan struktur tanah di situ tidak stabil.
“Jambatan berkenaan dibina di kawasan curam dan sungai berada empat meter di bawahnya. Banjir baru-baru menyebabkan sebahagian binaannya ditenggelami air menjadikan tebing runtuh.
“Saya berharap pihak berkuasa termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah dapat mengambil tindakan segera kerana penduduk berasakan ia tidak lagi selamat digunakan berikutan kesan keretakan yang semakin melebar ke tengah jambatan," katanya ketika ditemui.
Seorang lagi penduduk, Abdul Kamal Hassan, 46, berkata jambatan berkenaan adalah satu-satunya laluan utama kepada penduduk kampung keluar dari kawasan berkenaan untuk menjalankan urusan mereka termasuk bekerja serta menghantar anak ke sekolah.
“Saya keberatan membenarkan anak menaiki motosikal ke sekolah kerana jika tidak berhati-hati, mereka boleh terhumban ke dalam lubang di tepi bahagian jambatan ini apabila berselisih dengan kenderaan lain apatah lagi jalan di sini amat sempit.
“Jika berselisih dengan kenderaan lain terutama kereta, kenderaan lain perlu berhenti dulu dan bergilir-gilir menggunakan jambatan ini tetapi budak-budak biasanya tidak peduli dan ia menjadi ancaman tambahan terhadap pengguna lain di jambatan ini apatah lagi dengan keadaan lompang itu," katanya.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Jambatanhampirroboh/Article
0 comments:
Post a Comment