Berita Harian 24 Ogos 2010
BATU PAHAT: Penduduk beberapa kampung di Jalan Tanjong Laboh-Senggarang di sini, sudah tidak boleh bertahan lagi berikutan terpaksa hidup dalam persekitaran udara yang tercemar setiap hari sejak kewujudan sebuah kilang plastik yang mula beroperasi empat bulan lalu, di kawasan berhampiran mereka.
Beberapa penduduk yang ditemui baru-baru ini mendakwa kilang berkenaan juga tidak mempunyai lesen sah di samping menjalankan operasi pelupusan plastik secara haram serta tidak mengikut prosedur ditetapkan, sehingga mereka terpaksa menanggung derita. Malah, tinjauan Edisi Johor ke kawasan berkenaan mendapati wujud sebuah sekolah rendah kira-kira 300 meter daripada kawasan kilang berkenaan yang sudah tentu menjejaskan tumpuan guru dan murid menelaah pelajaran mereka setiap hari. Sejak kilang berkenaan beroperasi, penduduk di situ terpaksa menghirup udara tercemar yang bertoksik serta beracun akibat aktiviti pelupusan plastik di samping menyebabkan mereka mengalami masalah kulit termasuk kegatalan.
Ketua Kampung Tanjung Labuh, Mohamad Mian, berkata beberapa penduduk di situ terutama yang menetap di Kampung Batu Tujuh, di sini datang bertemunya bagi mengadukan masalah yang mereka hadapi dan beliau melakukan pemeriksaan bagi memastikan kesahihan aduan berkenaan.
“Selepas melakukan beberapa pemantauan bersama penduduk, ternyata dakwaan mereka mengenai masalah pencemaran terutama bau busuk serta bunyi bising dihasilkan dari kilang berkenaan adalah benar dan dialami setiap hari.
“Oleh itu, saya menasihatkan penduduk kampung berkenaan supaya mengumpulkan tandatangan setiap penduduk yang terjejas iaitu berjumlah 160 orang dan menyerahkannya kepada Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya tindakan lanjut dapat diambil" katanya.
Penduduk Kampung Batu Tujuh, Lau Kok Chai, 62, berkata, selain penduduk tertekan dengan pencemaran, kilang terbabit didapati beroperasi 24 jam sehari menyebabkan kualiti hidup penduduk di situ semakin terjejas.
“Sudahlah terpaksa membataskan aktiviti di luar rumah kerana tidak tahan menghirup udara yang tercemar dan beracun itu sedangkan kebanyakan kami adalah petani yang perlu selalu berada di luar rumah, malah kami juga bimbang ia akan menjejaskan tanaman.
“Itu belum dikira lagi bunyi bising yang membuatkan kami tidak tidur lena di sebelah malam berikutan penggunaan mesin pelupusan plastik yang digunakan oleh kilang berkenaan mengeluarkan bunyi yang kuat, " katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Jaffar Hashim turut melakukan tinjauan terhadap aktiviti kilang berkenaan selepas mendapat salinan surat aduan penduduk kawasan berkenaan.
Beliau berkata, penduduk di situ mahu kilang berkenaan ditutup dan dipindahkan operasinya di kawasan lain kerana kedudukannya hampir dengan kawasan penempatan penduduk, selain didakwa tidak mempunyai lesen.
“MPBP serta JAS sebenarnya sudah membuat lawatan ke kilang berkenaan sebanyak tiga kali dan sudah mengarahkan kilang berkenaan mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk mengurangkan secara maksimum pencemaran bunyi dan bau yang dihasilkannya.
“Saya berharap penduduk mampu bersabar kerana MPBP dan JAS sedang melakukan pemantauan rapi terhadap operasi kilang berkenaan supaya ia mematuhi syarat yang ditetapkan untuk kekal beroperasi,” katanya meminta penduduk kampung sekitar bersabar.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor___8216_Kamitaktahan__8217_/Article
0 comments:
Post a Comment