8/31/10

Johor : Masalah meloyakan

Berita Harian 31 Ogos 2010

Penduduk Rumah Pangsa Taman Kota Murni dakwa sisa buangan kilang berdekatan cemari kawasan sekitar

BATU PAHAT: Kira-kira 200 penduduk Rumah Pangsa Taman Kota Murni di Jalan Kota Murni 1, di sini hidup terhimpit dan tertekan apabila terpaksa bergelumang dengan pencemaran udara dan menghidu busuk dari kawasan industri sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kewujudan kawasan industri berkenaan yang mempunyai 49 lot kilang mengusahakan pelbagai produk termasuk makanan, kotak serta tekstil itu, sebelum ini tidak menimbulkan masalah kepada penduduk kerana ia dibangunkan serentak dengan rumah pangsa yang menjadi kediaman mereka. Bagaimanapun, selepas beberapa tahun hidup berjiran, tiba-tiba kebelakangan ini penduduk makin resah apabila kualiti hidup mereka terjejas akibat pencemaran udara.

Tinjauan Edisi Johor ke kawasan rumah pangsa kilang terbabit mendapati segelintir kilang di situ melepaskan pelbagai air dan cecair hasil industri termasuk air basuhan, pemprosesan serta kotoran yang disalurkan ke longkang di situ yang melalui sungai di tepi rumah pangsa berkenaan yang kemudian mengalir ke Sungai Batu Pahat, hingga menjadikan udara di kawasan sekitarnya busuk.

Apa yang menjadi persoalan, bagaimana kilang terbabit boleh menyalurkan air pemprosesan industri terus ke longkang dan sungai tanpa dirawat sehingga hidupan di sungai di sini hampir pupus disebabkan air sungai yang bertoksik.

Keadaan itu menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan perbelanjaan jutaan ringgit bagi merawat semula kualiti air di sungai berkenaan berikutan kelemahan pemantauan pihak berkuasa.
Suri rumah di kawasan itu, Norhayati Samsudi, 40, yang tinggal di rumah pangsa berkenaan berkata, menghidu bau kurang menyenangkan di situ sudah menjadi rutin penduduk di situ terutama yang mempunyai lot rumah berhadapan kawasan kilang terbabit.

"Pencemaran bau ini semakin serius tahun lalu apabila sungai yang mengalir di tepi rumah pangsa kami mula mengeluarkan bau kurang menyenangkan sehingga kadang-kala meloyakan terutama apabila angin bertiup ke arah rumah kami.

"Bayangkan, lapan tahun lalu sungai di sini airnya sangat jernih dan menjadi tempat mandi kanak-kanak. Malah, saya dan penduduk di sini selalu menjala di sungai yang kaya dengan hasil hidupan udang dan ikan sungai, tetapi sejak tahun lalu bukan saja semua hidupan berkenaan sudah tiada lagi disebabkan pencemaran tetapi kami juga terpaksa menghidu bau busuk," katanya ketika ditemui di kawasan sungai berkenaan yang terletak hanya 40 meter dari kawasan rumah pangsa berkenaan.

Zaid Ali, 37, seorang juruteknik yang juga tinggal di rumah pangsa berkenaan berkata, kakaknya pernah menegur beberapa pengusaha kilang di situ dan menasihatkan mereka supaya lebih menghormati penduduk di situ serta tidak sewenang-wenangnya membuang segala kekotoran di longkang berkenaan kerana akan menimbulkan pencemaran udara dan bau.

"Namun, nampaknya pengusaha berkenaan tidak mengambil tindakan sewajarnya dan tetap juga meneruskan tabiat mereka sehingga penduduk yang terpaksa menerima akibatnya," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Masalahmeloyakan/Article

0 comments: