Berita Harian 4 Ogos 2010
JOHOR BAHRU: Lebih 50 peniaga di Taman Sri Bahagia, di sini merayu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menyediakan sebuah tong sampah besar bagi kemudahan mereka menguruskan sisa buangan dengan cara yang betul.
Mereka mendakwa, ketiadaan tong sampah besar menyukarkan peniaga di kawasan berkenaan untuk membuang sampah sehingga mendorong segelintir daripada mereka mengambil jalan mudah dengan membuangnya di bahu jalan. Tinjauan Edisi Johor mendapati bahu jalan di deretan bangunan kedai di taman ini dipenuhi dengan timbunan sampah sarap sehingga mencacatkan pemandangan dan mewujudkan suasana kotor serta menimbulkan bau. Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Lai, berkata timbunan sampah sampah yang diletakkan di bahu jalan turut meningkatkan kehadiran haiwan perosak seperti tikus dan haiwan liar seperti anjing di kawasan perniagaan mereka.
“Akibat jadual pungutan sampah yang tidak menentu, sampah sarap yang diletakkan di bahu jalan sering bertaburan sehingga menarik kehadiran haiwan seperti tikus dan anjing ke kawasan perniagaan kami.
“Keadaan ini cukup dikesali peniaga di sini kerana hanya disebabkan ketiadaan tong sampah besar bagi kemudahan kami menguruskan sisa buangan, muncul pula masalah lain yang sebelum ini tidak pernah timbul,” katanya.
Pengunjung, Hamid Salleh, 46, berkata masalah timbunan sampah sarap di taman ini dapat diatasi dengan segera sekiranya MBJB menyediakan lebih banyak tong sampah besar bagi kegunaan orang ramai.
“Tong sampah besar ini bukan saja dapat digunakan oleh peniaga terbabit, bahkan lebih 2, 000 penduduk yang menghuni kawasan kejiranan di sekitarnya.
“MBJB juga harus memastikan kontraktor yang dilantik untuk memungut sampah mematuhi jadual pungutan yang ditetapkan supaya ia tidak lagi menimbulkan rungutan orang ramai selepas ini,” katanya.
Seorang peniaga kedai runcit yang tidak mahu namanya dikenali, berkata sudah banyak kali permohonan supaya disediakan sebuah tong sampah besar di kawasan berkenaan diajukan kepada pihak MBJB, namun tidak membawa perubahan.
“Bukan saja menerusi surat rasmi, malah saya sudah dua kali turun naik ke pejabat MBJB untuk mengajukan masalah ini. Apa yang menyedihkan ialah sampai sekarang tiada sebarang tindakan susulan diambil oleh pihak berkenaan.
“Saya tidak tahan dengan bau busuk dan persekitaran kotor di kawasan ini.
Malah, ia sedikit sebanyak turut mempengaruhi jumlah kedatangan pelanggan ke kedai kami yang semakin merosot sekarang,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Johor_Seksahidubausampah/Article
0 comments:
Post a Comment